
MAZDA CX-5 2.5 NA, 16.5KM/LITER. ENJIN BESAR TAPI JIMAT
Di peringkat global, Mazda Miata MX-5 adalah satu model ikonik yang dihasilkan oleh Mazda, komited dalam menghasilkan sebuah kereta sport mampu milik bagi pasaran global. Namun seperti yang sedia maklum, kereta sport 2 pintu ini bukanlah pilihan untuk semua pengguna.
Sebaliknya model SUV seperti CX-5 adalah model penting kepada Mazda, dengan kebanyakan peralatan pembuatan dan tooling sudah balik modal maka keuntungan bagi SUV ini adalah banyak. Keadaan ini memberi peluang kepada Mazda untuk terus menghasilkan projek kejuruteraan yang lain seperti mengeluarkan semula enjin rotari dengan teknologi hibrid
Mazda CX-5 yang dipandu sebelum ini adalah model turbo dijual dengan harga sekitar RM 191,000. Dengan rekaan pacuan semua roda dan enjin turbo, ia memberikan purata penggunaan bahan api 11.9km/liter dan sebagai perbandingan Proton X70 AWD memberikan bacaan sekitar 11.3km/liter

Tapi secara jujurnya tak semua pemandu memerlukan kuasa tambahan daripada turbo, sistem AWD dan juga lebih berminat dengan penggunaan bahan api yang lebih efisyen. Atas sebab inilah Mazda CX-5 dengan varian 2500cc aspirasi normal diperkenalkan pada harga RM 177,000
Dari segi luaran, adalah sukar untuk anda membezakan varian 2500cc Turbo dengan 2500cc NA kerana kedua dua varian ditawarkan dengan warna yang sama, rekaan rim yang sama dan lampu DRL yang sama. Hanya logo tulisan di pintu ruang kargo belakang sahaja diletakkan dengan tulisan AWD dan 2.5T bagi varian turbo
Bagi varian NA, ia hanya disemat dengan lencana SkyActivG 2.5 sahaja. Lampu depan datang dengan ciri Signature Light baru, LED DRL baru lengkap dengan ciri Adaptive Front Light System, Auto High Beam dan lampu belakang signature baru. Ruang kargo belakang menawarkan sekitar 438 liter dan boleh dibesarkan menjadi 1340 liter.

Rekaan papan pemuka juga adalah sama dengan varian 2500cc Turbo, lengkap dengan ciri pengecas tanpa wayar, sambungan Apple Car Play & Android Auto, skrin multimedia 8 inci, skrin meter digital 7 inci, kusyen depan berkuasa elektrik lengkap dengan memori serta ciri penyejukan
Rekaan dalam CX-5 menggunakan warna hitam disulami dengan kemasan plastik berkilat, krom, kulit, plastik lembut serta kemasan corak kayu bagi menghasilkan rekaan yang elegen dan kurang gangguan kepada pemandu
Tetapi pada masa yang sama penulis rasakan rekaan ini sudah nampak seperti ketinggalan, melainkan Mazda meletakkan lampu kabin pada papan pemuka dan kemasan pintu. Ruang belakang pula diperbaiki dengan menawarkan fungsi pelarasan pada kusyen bahagian belakang, pengecaj pada perehat tangan serta penyandar belakang boleh dilipat dengan ratio 40:20:40 sama seperti kereta Continental

Tanpa sistem turbo, enjin 2500cc SkyActivG 4 silinder ini menjana 192 kuasa kuda dan 258Nm tork pada 4000 RPM. Dengan nisbah mampatan 13:1, enjin ini berupaya untuk memberikan purata bacaan bahan api pada 13.5km/liter.
Tetapi ujian di atas jalan membuktikan CX-5 2.5 mampu menawarkan sehingga 16.5km/liter membuktikan tanpa sistem AWD dan turbo, enjin 2.5 ini sebenarnya cukup efisyen. Hanya transmisi automatik 6 kelajuan ditawarkan lengkap dengan ciri paddleshifter serta Mode Pemanduan Sport.
Pecutan 0-100km/jam boleh dibuat dalam masa 9 saat dengan halaju tertinggi ialah 196km/jam. Jika anda ingin memandu secara agresif, tekan butang sport mode, letakkan gear pada posisi M (manual) untuk mengawal sendiri gear dan tukar gear dengan paddlesifter terutama di jalan berselekoh

Meter akan bertukar kepada warna merah, respon enjin menjadi lebih tajam dan gear akan ditukar pada RPM yang tinggi. Cuma dari halaju 80km/jam, anda perlu perah enjin ini untuk mendapat kuasa dan memotong dengan senang. Walaupun dengan menggunakan gear 3, prestasi enjin terasa sedikit hambar berbanding dengan varian turbo
Cubaan penulis untuk menggunakan gear 2 pula tidak memberikan pecutan yang diperlukan. Enjin terasa mengaum dengan pecutan terasa tidak selari dengan bunyi enjin. Pada ketika inilah anda rasakan enjin turbo sebenarnya lebih nikmat.
Namun jika anda memandu dengan akal yang waras dan berhemah, gabungan enjin dan transmisi ini boleh beroperasi dengan harmoni, lembut dan lancar. Ia tetap menghasilkan rasa pemanduan yang lebih baik berbanding dengan CVT tapi lebih lancar.

Ya sama seperti yang kami sebut, ia akan menawarkan penjimatan yang jauh lebih baik berbanding dengan enjin turbo serta operasi yang terasa “mahal”. Tetapan stering pula dibuat dengan menggunakan ratio yang pendek, membantu penulis mengambil selekoh dengan mudah
Tetapi pada masa yang sama ia juga menyediakan kestabilan stering ketika memandu di jalan lurus, tidak memerlukan anda sentiasa fokus pada stering sepanjang masa. Stering ini juga menjadi semakin berat ketika halaju semakin bertambah memberikan keyakinan pada anda pada halaju tinggi
Dari segi keselesaan, penulis rasakan tetapan stering adalah lembut sedikit berbanding dengan varian turbo yang agak keras. Sebagai bukti penulis dengan mudah melalui jalan tidak rata, jalan rosak dan juga bonggol dengan selesa tanpa menyebabkan keselesaan ruang kabin terjejas

Ayunan cesi rasa terkawal dan tiada sentapan keras dirasakan. Mungkin disebabkan CX-5 menggunakan penyerap hentak “long travel” menawarkan keselesaan dan jarak kelegaan permukaan jalan mencecah 193mm bagi membolehkan CX-5 melalui jalan “mild offroad” dengan senang
Tetapi jika anda cuba melalui selekoh pendek terutama selekoh S dengan halaju tinggi di jalan Grik-Jeli, bahagian belakang dan roda belakang terasa sedikit sibuk dan bergoyang. Pada hemat penulis ia adalah perkara yang anda perlu bertolak ansur apabila CX-5 menggunakan tetapan sistem suspensi yang mementingkan keselesaan.
Jika dibandingkan dengan Mazda CX-30 yang menggunakan rekaan Coupled Torsion Beam pada bahagian belakang dan pusat graviti yang rendah, Mazda CX-30 menawarkan pemanduan yang lebih melekat, respon gear yang lebih baik dan enjin yang lebih ligat.

Sama seperti model sebelum ini, penulis kurang berkenan dengan respon pedal brek yang ditala dengan lembut pada halaju rendah. Tetapi pada halaju tinggi, respon brek adalah bagus dan terasa lebih melekat dan lebih baik berbanding dengan model lama 2019.
Sistem i-ActiveSense yang ditawakan pula lengkap dengan semua ciri keselamatan aktif moden, tetapi ada 2 ciri yang paling disukai oleh penulis iaitu Adaptive Front Light dan juga GVC Plus. AFS akan membenarkan lampu utama menyuluh jalan mengikut input yang diberikan oleh pemandu pada stering.
GVC Plus pula akan mengurangkan kuasa enjin semasa ia mengesan input pada stering dan membrek roda depan semasa CX-5 keluar daripada selekoh. Hasilnya ialah “weight transfer” yang berlaku adalah sangat minima ketika melalui selekoh, mengurangkan olengan cesi dan mengurangkan rasa lesu pada pemandu selepas memandu pada jarak jauh.

Antara perkara yang tidak digemari oleh penulis pada Mazda CX-5 termasuklah suis fizikal yang terasa lama jika dibandingkan dengan suis CX-30, brek yang kurang agresif dan kamera 360 darjah dengan piksel yang rendah jika dibandingkan dengan kamera yang ditawarkan oleh Proton atau Honda CRV baru
Jika anda boleh menelan semua kelemahan Mazda CX-5 yang kami sebut di atas, CX-5 2.5 NA adalah pilihan yang tepat jika anda mahukan sebuah SUV dengan pengendalian yang terasa mahal, operasi enjin dan gear yang lancar dan lebih menjimatkan berbanding dengan varian 2.5 Turbo AWD.
Rupa paras Mazda CX-5 mungkin nampak biasa sahaja, namun pengalaman pemanduannya adalah cukup menarik, ergonomik yang bagus dan harga yang lebih kompetitif


