Pandu Uji

MAZDA CX-5 2024, MAZDA AJAR KITA BERJIMAT & BUAT UNTUNG

Jualan global Mazda pada tahun 2023 mencapai angka 1,253,654 unit dengan pasaran utama Mazda adalah Jepun, China dan juga Amerika. Daripada angka ini, 354,850 unit atau 28.3% disumbangkan oleh model SUV CX-5 dimana SUV ini masih dikira dalam kategori kompak bagi negara yang maju.

Pening juga penulis untuk bayangkan sebuah SUV model yang sudah lama masih lagi berjaya dijual dan menambat hati pembeli. Dari segi sejarah, CX-5 generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2012 diikuti oleh generasi kedua pada tahun 2017.

Dan pada hari ini Mazda masih menjual generasi kedua secara global selepas menerima naiktaraf atau facelift pada tahun 2021. Cuma utuk pasaran Malaysia model facelift ini dijual pada tahun 2024. Agak terlambat tapi masih lagi ok dengan jenama Mazda berada dalam 10 kelompok jenama terlaris di Malaysia

Secara peribadi saya bersetuju dengan kaedah jualan dan pemasaran yang digunakan oleh Mazda dimana syarikat ini bukanlah syarikat besar seperti Toyota yang mampu mengeluarkan model baru dalam masa 4 tahun sekali. Jika ingin bersaing dengan syarikat kaya seperti Toyota, jahanam poket Mazda

Sebab pembangunan sesebuah model baru akan mengambil masa, tenaga manusia, dan modal yang besar dan paling penting belum tentu balik modal dalam masa yang singkat. Meniaga memang macam ni tuan puan, rugi sudah pasti dan untung belum dijamin.

Jadi strategi yang dirangka oleh Mazda memang bijak. Hasilkan sahaja rekaan yang sukar ditelan zaman (timeless design) dan pastikan unit kejuruteraan bersedia untuk mengemaskini semua keperluan keselaatan, pelepasan asap dan ciri moden tanpa masalah.

Baru-baru ini tular bahawa Subaru BRZ dan Toyota GR 86 hanya diberi masa sehingga hujung tahun 2024 sahaja untuk dijual di EU disebabkan adalah sukar untuk memenuhi regulasi keselamatan baru di sana. Sedangkan pada masa yang sama Mazda Miata boleh memenuhi semua regulasi baru walaupun ia merupakan model yang telah lama

Mazda MX-5 masih mengekalkan sifir rekaan yang sama dengan Kodo Design, rekaan tanpa garis lurus yang sedap dipandang cuma dikemaskini dengan warna yang baru. Selain daripada warna Soul Red, CX-5 menerima 3 warna baru seperti Snowflake White Pearl, Platinum Quartz dan juga Polymetal Gray.

Turut menerima kemaskini rekaan ialah penggunaan rim 19inci yang baru bagi model 2.5 Turbo AWD, jeriji bawah rekaan baru, lampu depan dengan rekaan DRL baru, lampu belakang rekaan baru serta sensor pada bampar depan

Rekaan bahagian dalam pula menerima kuysen belakang yang boleh dilipat dalam 3 bahagian 40:20:40 yang memudahkan untuk membawa barang panjang dan sambungan Apple Car Play & Android Auto pada sistem Mazda i-Connect.

Cuma sayangnya ia masih mengekalkan saiz skrin 8 inci dan bukannya 10 inci bagi pasaran luar negara. Malah penulis juga kecewa dengan kualiti suapan video untuk sistem kamera 360 darjah yng agak kabur seperti dirakam dalam format 3gp. Varian tertinggi juga tidak diberikan ciri pembesar suara BOSE dan cermin suria sama seperti model CX-8

Rekaan papan pemuka walaupun menggunakan kemasan kulit, kayu dan juga krom ia adalah sama seperti yang pernah diuji oleh penulis 4 tahun lepas. Kualitinya bagus cuma ia tidak lagi mengujakan. Mazda juga tidak memasang cabin light pada bahagian depan seperti CX-8 bagi menjadikan pemanduan pada waktu malam lebih menggembirakan

Bagi enjin yang digunakan, ia adalah enjin yang paling berkuasa yang pernah dipasarkan oleh Mazda di sini setakat ini. Enjin 2500cc 4 silinder petrol turbo ini menjana 228 kuasa kuda dan 420Nm tork dengan petrol RON 95. Jika anda mengisi RON 98, kuasanya akan meningkat kepada 250 kuasa kuda dan 430Nm tork.

Dengan nisbah mampatan 10.5:1 dan gear 6 kelajuan automatik, Mazda CX-5 dengan berat 1718kg masih mampu memberikan bacaan purata penggunaan bahan api sekitar 11.9km bagi setiap liter petrol. Angka yang diberikan oleh Mazda ialah 12.2km bagi setiap liter petrol

Bagi enjin ini, ia dilengkapkan dengan Dynamic Pressure Turbo yang boleh menjana turbin dengan 2 injap yang berbeza. Satu injap untuk RPM rendah dan satu lagi pada RPM tinggi bagi memastikan isu turbolag tidak berlaku.

Malah bagi mengatasi isu turbolag yang boleh menjejaskan pengendalian CX-5 di selekoh, rekaan ekzos telah direka semula dengan paip ekzos rekaan 4-2-1. Rekaan ini dengan sistem scavenging akan mengasilkan vacum untuk menyedut asap ekzos bagi membantu mengurangkan kehilangan tenaga kinetik asap ekzos

Masalah knocking yang berkait rapat dengan suhu yang tinggi pula diatasi dengan penggunaan teknologi EGR sejukan cecair. Suhu yang rendah mengurangkan masalah knocking, mengurangkan penggunaan petrol dan mengurangkan pencemaran asap

Terdapat 3 mode pemanduan yang ditawarkan samaada Normal, Sport atau AWD yang direka khusus untuk CX-5 melakukan aktiviti offroad riangan. Dalam tetapan Normal, respon stering dan transmisi 6 kelajuan adalah memadai dan penulis tidak perlu menukar pada mode Sport untuk menjadikan stering lebih sedap digunakan

Bagi sistem CX-5 baru, sistem iActive AWD baru diberi talaan baru iaitu ciri brake ESC pada tayar yang mengalami gelinciran. Ciri ini menyamai ciri e-differential dimana sistem ini akan membrek pada mana-mana tayar yang kehilangan cengkaman dan kuasa enjin akan dihantar pada tayar yang memiliki cengkaman dengan permukaan tanah.

Keadaan ini membenarkan CX-5 maju ke depan biarpun tayar tergantung ataupun terbenam dalam lumpur. Tapi pada masa yang sam sistem ini kekal efisyen dengan kebanyakan masa kuasa enjin akan dihantar ke roda depan sahaja apabila dipandu di atas permukaan jalan raya.

Sistem AWD akan diaktifkan apabila CX-5 mengesan ia dipandu atas permukaan tidak berturap dengan menerima 27 input daripada sensor. Sensor ini akan mengesan kedudukan pedal minyak, pedal brek, suhu luar, dan operasi pengilap cermin sebelum memutuskan untuk mengaktifkan sistem AWD.

Ataupun anda pilih saja mode AWD pada tuil sebelah gear untuk memaksa CX-5 beroperasi dalam mode AWD sekiranya anda melalui permukaan mencabar. Tapi sayang sedikit sebab muncung depan iaitu jeriji bawah CX-5 sedikit terjuih, menyebabkan sudut depan menjadi 17.5 darjah (approach angle).

Tapi sudut belakang adalah 22.5 darjah (departure angle) manakala jarak kelegaan permukaan tanah mencecah 193mm bagi membenarkan CX-5 menjalani aktiviti mild offroad. Lagipun sistem AWD sebenarnya dipacu dengan sistem klac dan bukannya sistem transfer case.

Dari segi pemanduan ada 2 aspek yang boleh dipuji oleh penulis berbanding dengan varian lama. Pertama sistem penyerap hentak adalah lembut sedikit berbanding dengan model lama menjadikan perjalanan di atas permukaan jalan tidak rata lebih selesa.

Kedua ialah respon brek lebih pantas dan kedudukan pedal brek yang lebih sensitif menjadikan anda tidak perlu menekan pedal brek sekuat hati untuk membrek. Pecutan kuasa yang dijana oleh enjin 2.5 turbo ini sebenarnya cukup padu membenarkan anda memotong kenderaan lain dengan mudah

Ia juga membenarkan anda memandu pada kelajuan cahaya di lebuh raya dan mungkin akan kalah kepada jenama dari negara Jerman sahaja. Malah pada kelajuan tinggi anda langsung tidak gayat dan kekok untuk mengambil selekoh dengan agresif.

Sekiranya anda menjadi terlalu agresif, sistem GVC Plus akan mengambil alih tugas dengan mengurangkan sedikit kuasa enjin dan mengenakan brek pada roda roda tertentu bagi memastikan pergerakan CX-5 dari memasuki selekoh sehingga keluar dari selekoh

Cuma anda kena ingat, memandu dengan laju melebihi 110km/jam akan menyebabkan poket anda rabak untuk mengisi petrol CX-5 ini. Kalau anda nak memandu dengan tenang, hidupkan saja sistem Mazda Radar Cruise Control. Tapi sistem MRCC ini perlu digilap dengan lebih baik lagi agar ia lancar dalam mengambil alih tugas memandu di lebuh raya

Bagi varian 2.5 Turbo AWD ia dilengkapi dengan Adaptive Front Light System, Auto High Beam, Sistem Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Keluar Lorong, Sistem Pengekalan Lorong, Driver Attention Alert, Sistem Brek Automatik dan MRCC.

Bagi CX-5 varian terendah iaitu 2.0 Mid ia dijual dengan harga RM 144,469, menjadi RM 174,960 bagi 2.5 High dan RM 188,760 bagi varian 2.5 Turbo AWD iaitu varian tertinggi. Mazda CX-5 masih lagi menjadi pilihan untuk sebuah SUV dalam segmen C yang menawarkan kualiti pemanduan bak kereta Continental dengan kualiti pemasangan Jepun.

Google ads
Back to top button