
MAZDA CX-5 2017 GENERASI BARU
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa SUV CX-5 merupakan model yang bertanggungjawab menaikkan semula nama Mazda di pasaran dunia.
Apabila diperkenalkan pada tahun 2012, CX-5 menjadi model pertama yang dilengkapi teknologi SKYACTIV dan bahasa rekaan KODO. Teknologi itu kemudian digunakan pada model-model moden Mazda yang seterusnya.
Semalam, Mazda memperkenalkan CX-5 serba baharu pada acara Los Angeles Auto Show 2016. Mazda dilihat menambah baik model generasi baru pada hampir semua segi.
Dari segi luaran, CX-5 mengekalkan DNA rekaan KODO – Soul of Motion. Sementara warna merah yang baru (Soul Red Crystal) jelas menyerlahkan lagi lengkuk badan CX-5 yang nampak semakin kemas dengan garis-garis lebih tajam.
Soul Red Crystal ialah versi lebih maju warna Soul Red Metallic. Ia dikatakan lebih segar dengan warna 20 peratus lebih tepu dan 50 peratus lebih ‘dalam’. Sama seperti warna-warna premium Mazda yang lain, Soul Red Crystal menggunakan teknologi cat Takuminuri.
Teknologi itu menawarkan kualiti dan ketepatan kemasan cat menggunakan tangan dalam struktur tiga lapisan yang unik.
Aspek mekanikal bagaimanapun tidak berubah. CX-5 dikuasakan oleh pilihan dua pilihan enjin petrol iaitu SKYACTIV-G 2.0 dan SKYACTIV-G 2.5 serta satu enjin diesel SKYACTIV-D 2.2 yang sudahpun ditawarkan di pasaran Malaysia baru-baru ini. Semua enjin itu menawarkan kuasa yang lebih linear bersama penjimatan dan emisi rendah.
Bagi menawarkan kualiti pengendalian terbaik, Mazda membekalkan jentera tersebut dengan ciri G-Vectoring Control. Turut dipasang ialah pintu belakang kuasa yang boleh dikawal dari jauh.
Perubahan ketara boleh dilihat pada ruang kabinnya. Ia hadir dengan rekaan papan pemuka baharu yang selari dengan model CX-9. Corong pendingin hawa menerima bentuk baru bersama kemasan krom pada bingkainya.
CX-5 serba baharu akan mula dijual di pasaran Jepun pada Februari 2017, sebelum ditawarkan ke pasaran lain di seluruh dunia. Menjadi model terlaris Mazda di Eropah, CX-5 telah dijual di lebih 120 buah negara dan menyumbang satu perempat daripada jualan keseluruhan Mazda.
SUV itu telah memenangi lebih 90 anugerah termasuklah Japan Car of the Year 2012-2013 dan banyak lagi.
GALERI



















