Buletin

STELLANTIS LABUR RM658 JUTA HASILKAN PESAWAT ‘MIDNIGHT’ DENGAN ARCHER AVIATION

Stellantis telah mengembangkan perkongsian mereka bersama Archer Aviation apabila kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk meletakkan pesawat Midnight ke dalam pengeluaran pada 2024.

Midnight ialah pesawat electric vertical take-off and landing (eVTOL) yang direka untuk membawa empat penumpang dan seorang juruterbang. Model itu hanya mempunyai jarak 161 km dan dioptimumkan untuk perjalanan jarak dekat sekitar 32 km dengan pengecasan mengambil masa kira-kira 10 minit.

Di bawah syarat perjanjian terbaharu, Stellantis akan menyumbang teknologi, kepakaran pembuatan, kakitangan berpengalaman selain menyediakan modal untuk perkongsian tersebut. Pembuat kereta itu juga akan bekerjasama dengan Archer untuk membangunkan kemudahan pembuatan di Covington, Georgia.

Stellantis turut mendedahkan matlamat untuk menghasilkan pesawat eVTOL Archer secara besar-besaran sebagai pengeluar kontrak eksklusifnya. Selain itu, Stellantis akan menyediakan AS$150 juta (RM658 juta) dalam modal ekuiti kepada Archer.

Archer dibenar untuk menggunakan dana tersebut, mengikut budi bicara Stellantis, pada 2023 dan 2024, tetapi ia bergantung kepada pencapaian tertentu oleh Archer. Tambahan pula, Stellantis sememangnya berhasrat untuk membeli saham Archer pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares berkata langkah itu akan membolehkan penskalaan pesat pengeluaran pesawat untuk memenuhi rancangan pengkomersilan Archer.

“Kerjasama antara kami dengan Archer adalah pelaburan strategik selain merancang mengembangkan lagi pegangan saham. Ini menunjukkan Stellantis mahu melangkaui sempadan dengan menyediakan kebebasan mobiliti yang mampan dari jalan ke langit,” kata Tavares.

Google ads
Back to top button