
MAZDA CX70 DIPERKENAL, 3.3 TURBO MILD HYBRID DAN 2.5 PHEV, KEMBAR CX-90?
Barisan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda di Amerika Syarikat bertambah lagi selepas CX-70 diperkenalkan.
Pelanggan di sana sudah pun ditawarkan pelbagai SUV seperti CX-90, CX-50, CX-5 dan CX-30.
Satu yang menarik, laporan dari media Amerika Syarikat mengatakan bahawa CX-70 adalah CX-90 tanpa tujuh tempat duduk.
Walaupun begitu, CX-70 tampil berbeza pada bahagian depan dan belakang dengan bampar dan jeriji yang membawa identiti sendiri.
Berbanding CX-90 yang mewah, CX-70 nampak lebih sporti dengan corak tepi bampar depan mengingatkan kepada Mazda2 Hybrid pasaran Eropah.
CX-70 merupakan model ketiga di dalam senarai Produk Besar Mazda selepas CX-60, CX-90 dan CX-80 yang bakal diperkenal kemudian.
Selari dengan perkembangan dan keperluan semasa, CX-70 direka dari awal lagi untuk menggunakan rangkaian kuasa elektrik.
Pelanggan ditawarkan enjin e-SkyActiv G 3.3 liter enam silinder sebaris dengan M-Hybrid Boost atau e-SkyActiv G PHEV 2.5 liter.
Di dalam CX-90, e-SkyActiv G 3.3 liter menghasilkan 280 kuasa kuda (hp) dan tork 450Nm atau 341 hp dan tork 500Nm. Motor elektrik mempunyai kuasa 12.2 kW (16 hp) dan tork 153Nm.
Enjin 2.5 liter pula menghasilkan 189 hp dan tork 260Nm dengan motor elektrik berkuasa 129 kW (173 hp) dan tork 270Nm. Kuasa keseluruhan sistem ialah 323 hp dan tork 500Nm.
Seperti yang dinyatakan, rupa depan CX-70 tampil sporti dengan jeriji depan lebar dan ditemani dua jeriji besar kanan dan kiri. Bahagian tepi diserlahkan rim 21 inci dengan bilah bercabang ala CX-90.
Bahagian dalam CX-70 tampil mewah dengan papan pemuka dan panel pintu mirip CX-90. Mazda menawarkan balutan kulit Nappa merah yang diilhamkan dari MX-5 100th Anniversary Special Edition.
Dari segi kebolehgunaan, bahagian bawah lantai belakang mempunyai ruang simpanan tambahan dan boleh menyembunyikan barang berharga.
Mazda menggunakan sistem Alexa untuk pemandu membuat arahan bebas tangan seperti menukar suhu, stesen radio dan mengawal peranti rumah pintar.
Dari segi teknologi bantuan, CX-70 dilengkapi beberapa fungsi baharu seperti Bantuan Pemandu Tidak Responsif.
Sistem itu berfungsi dengan memperlahankan dan menghentikan kereta secara automatik sekiranya pemandu tidak memberi perhatian terhadap amaran yang diberikan.
Mazda CX-70 dijadual untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat dan Kanada pada musim bunga 2024 (Mac – Jun). Mazda juga merancang untuk menawarkan CX-70 di Mexico dan Australia.










