
SKODA MERAIKAN ULANG TAHUN KE 25 DALAM PEMBABITAN WRC
Škoda Motorsport telah pun meraikan ulang tahun suku abad mereka dalam pembabitan perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC). Musim baharu WRC 2024 yang sudah pun bermula pada hujung minggu yang lalu di Rallye Monte-Carlo menandakan pembabitan Skoda Motorsport selama 25 tahun dalam perlumbaan rali ini.
Setelah memenangi gelaran Pemandu WRC2 bersama Andreas Mikkelsen pada 2023, Škoda Motorsport sedang mencari kejayaan selanjutnya dalam musim sukan permotoran 2024. Rali Monte Carlo ke-92 ialah acara pertama musim WRC baharu, dengan gandingan Oliver Solberg dan Elliott Edmondson diumumkan sebagai juruterbang Fabia RS Rally2 di WRC2.

Octavia WRC – 1999
Selepas jadual ujian dan pembangunan selama setahun, Škoda Motorsport memperkenalkan sebuah jentera serba baharu, Octavia WRC untuk membuat debut di Rallye Monte-Carlo pada tahun 1999. Škoda Octavia WRC dikuasakan oleh enjin dua liter pengecas turbo dengan teknologi lima injap. Ia menghasilkan 221 kW (300 hp); tork pada mulanya 500 Nm pada 3,250 rpm, kemudian meningkat kepada 600 Nm. Berat jentera itu hanyalah 1,230 kg, yang merupakan berat minimum yang dinyatakan dalam peraturan. Dalam kombinasi dengan pacuan semua roda, ini menjadikan Octavia WRC sebagai jentera yang paling dinamik dalam sejarah sukan permotoran Škoda.
Jentera yang dianggap sebagai pendatang baharu dalam WRC ketika itu, menamatkan aksi terakhir pada tahun 2003 dengan aksi terbaiknya adalah Safari Rally pada tahun 2001 melalui Armin Schwarz.

Fabia WRC – 2003
Jentera baharu, Skoda Fabia WRC mula membuat permulaan kompetitif pertama di Rally Deutschland namun gagal mengutip sebarang mata pada tahun pertamanya. Berbanding model Octavia WRC yang menggunakan casis sedan, Fabia WRC ini menampilkan rekaan kereta hatchback daripada model jalanan Skoda Fabia.
Berbanding model jalanan standard jalanan untuk Fabia, bagi varian Fabia RS bahagian bampar RS telah diubah suai sedikit dengan meningkatkan ukuran Panjang keseluruhan bagi tujuan homologasi terhadap jentera Fabia RS.
Škoda Motorsport telah menarik diri daripada perlumbaan pada penghujung 2005. Walau bagaimana pun terdapat dua pasukan persendirian bersaing dengan sokongan terus daripada Skoda dengan menggunakan jentera Fabia WRC pada 2006 dan 2007.

Fabia S2000 – 2009
2009 merupakan tahun kejayaan bagi pasukan Mladá Boleslav, apabila projek Škoda Fabia S2000, berdasarkan generasi kedua Fabia, dimulakan. Skoda telah menyertai kategori PWRC dan juga IRC (Intercontinental Rally Championship) serta telah mula melancarkan program pelanggan yang ingin menempah jentera ini
Sejumlah 63 model Fabia S2000 telah disediakan kepada pelanggan untuk berlumba di peringkat serantau mahu pun kebangsaan dengan kejayaan turut berjaya diraih. Malah, pasukan kilang Skoda Motorsport juga turut berjaya melalui trio trio Juho Hänninen, Jan Kopecký dan Esappeka Lappi.

Fabia R5, R5 Evo, Rally2, Rally2 Evo – 2015
Pada tahun 2015, peraturan R5 menggantikan peraturan S2000, dengan kejohanan WRC2 menggantikan SWRC dan menggunakan kalendar dan peringkat yang sama seperti WRC. Dan untuk itu, Skoda telah mempertaruhkan jentera baharu, Fabia R5 dengan menggunakan enjin 1.6 liter yang turut dilengkapi dengan pengecas turbo.
Ternyata kehadiran Skoda Fabia R5 terbukti cukup unggul dalam kelasnya. Skoda Motorsport berjaya merangkul gelaran Pasukan WRC2 pada tahun 2015, 2016, 2017 dan 2018, serta gelaran Pemandu pada tahun-tahun tersebut serta 2019 dan juga 2021.
Lebih daripada 450 kereta rali Fabia generasi ketiga telah dibina, daripada R5 hingga Rally2 Evo, menjadikannya bukan sahaja kereta rali Škoda yang paling berjaya tetapi juga paling laris.

Rali Fabia RS2 – 2023
Generasi baharu jentera Skoda Fabia RS Rally2 ini telah dilancarkan pada Jun 2022 serta terus memberikan impak yang cemerlang dalam perlumbaan WRC2. Dengan model baharu Fabia yang lebih dinamik, ianya turut menerima manfaat beberapa sistem dan komponen baharu yang telah dipertingkatkan untuk jentera baharu Rally2 ini.
Dan Andreas Mikkelsen, yang mengemudi Fabia RS Rally2 pada 2023, meraih empat kemenangan dan satu tempat ketiga bagi memastikan kejuaraan WRC2 berada dalam genggaman.
Malah lagenda rali, Sebastian Loeb turut memandu jentera Rally2 ini untuk menang di Azores Rallye sekali gus meningkatkan darjat jentera rali ini.
2024
Dengan 13 pusingan dijadualkan untuk musim WRC 2024, dan Rallye Monte-Carlo Rally pembuka musim dari 25-28 Januari, Škoda Motorsport akan bersaing sekali lagi bagi mencabar kejuaraan. Sudah tentu Oliver Solberg antara nama yang akan memandu jentera yang cukup digeruni dalam kelas WRC2 ini.