
VOLVO 1800ES – WAGON SPORTY ERA ROLLING STONES
Barangkali, kita terlalu dimomokkan imej kekotak apabila menyebut tentang Volvo 240 dulu dulu. Tapi Brader Karrager syak pasti ramai yang tidak mengetahui bahawasanya Volvo juga lama dahulu juga agak handal mengeluarkan kereta dengan paras rupa sporty.
Dan diantara yang cukup menarik untuk Brader Karrager kongsikan adalah model Volvo 1800ES, sebuah Wagon Sporty dua pintu yang lahir di era Rolling Stones. Sebetulnya, model Wagon yang tampak agak seksi ini diasaskan daripada model Volvo P1800, sebuah model Coupe.

Dan Volvo bertindak bijak apabila mengeluarkan versi Wagon, khusus untuk memenuhi keperluan pemiliknya yang seorang yang berjiwa muda tetapi sangat mementingkan masa bersama keluarga di hujung minggu untuk keluar memancing di sungai misalannya. (Sesuai sangat untuk Playboy pencen)
Memandangkan keturunannya adalah sebuah Coupe, maka perekanya tidaklah tergamak untuk memasang pintu di bahagian belakang. Cukup dua pintu dihadapannya. Barulah nampak ori. Cuma pillar D telah ditarik dimensinya agar menyerupai sebuah Wagon. Dan hasilnya lahirlah Wagon Sporty dua pintu.

Dan harus diakui, rekaannya tampak kemas dan tidak terlalu pelik. Paling menarik sudah tentulah rekaan tailgate Volvo 1800ES ini yang menggunakan kepingan kaca yang boleh dibuka sepenuhnya. Sejenis kejuruteraan bijak yang masih digunapakai sehingga kini.
Enjin bersesaran B20F yang bersesaran 2.0 liter yang dipasang mampu menghasilkan kuasa sekitar 113 HP, kuasa tujahan 157 Nm @ 3500 RPM. Selain daripada kotak gear manual 4 kelajuan dengan tambahan Overdrive, kotak gear auto 3 kelajuan turut ditawarkan ketika itu. Tapi zaman itu istilah jem belum cukup meluas lagi. Jadinya, baik pakai manual sahaja kan.
Walaupun dilahirkan era 70an, namun Wagon yang mengancam ini menggunakan sistem suntikan api elektronik daripada Bosch Ditamba pula dengan penggunaan Overdrive pada kotak gear manual itu, kiranya penggunaan bahan bakar tak adalah pelahap sangat kan. Oh ya, Volvo 1800ES ini turut menggunakan pacuan roda belakang. Buat main drift pun sedap juga ni agaknya.
Jangka hayat model Wagon ini boleh dikatakan sebagai pendek sahaja dengan tempoh produksi hanya dua tahun sahaja. Dan sejumlah 8,077 unit telah dikeluarkan bagi model 1800ES ini.
Dan sejujurnya Brader Karrager masih kagum dengan rekaan Volvo 1800ES ini. Walaupun berpuluh tahun, namun ianya masih kelihatan muda dan seksi. Kan?
BACA : MODIFIKASI RERO – VOLVO 245 WAGON TURBO
BACA : VOLVO V60 CROSS COUNTRY 2018 – BOLEH BAWA MASUK OFF ROAD