Buletin

McLAREN 620R DENGAN R PACK, 0-100 KM/J = 2.9 SAAT!

Beli kereta berkuasa dan naik taraf lagi. Ini satu aspek apabila ‘bermain dengan kereta’ tidak kira jenis kebanyakan atau eksotik seperti McLaren ini.

Pelanggan yang berminat dengan McLaren 620R kini boleh membuat tambahan pesanan pakej R Pack dari McLaren Special Operations (MSO) dan ditawarkan khusus untuk pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

McLaren 620R adalah sebuah model yang paling berorientasikan litar dan Sport Series paling berkuasa pernah dibina. Dengan ciri begitu ekstrem, 620R masih sah untuk dipandu di jalan raya awam.

McLaren 620R dikuasakan enjin M838TE 3.8 liter V8 turbo berkembar yang digunakan pada McLaren 570S GT4 dan dikonfigurasi semula untuk mencapai 610 bhp pada 7500 rpm dan tork 620 Nm dari 5500 hingga 6500rpm.

Enjin tersebut dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan seamless-shift gearbox (SSG) dengan pacuan roda belakang (RWD).

Angka-angka prestasi menjadikan 620R model Sports Series paling berkuasa dan mempunyai daya pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam 2.9 saat dan 0 hingga 200 km/j memerlukan 8.1 saat.

Bukan sahaja enjin, komponen seperti aerodinamik, perkakasan dan casis turut berkongsi dengan 570S GT4 dalam mencapai prestasi kereta lumba dan juga masa pusingan paling pantas bagi model Sports Series.

Ciri aerodinamik McLaren 620R menghasilkan 185kg daya mendap pada kelajuan 250 km/j.

Coupé ini dilengkapi brek seramik karbon, roda kunci berpusat (centre locking) dan penyerap hentak boleh laras manual dua hala GT4 dengan 32 ‘klik’ pelarasan. 

Tayar Pirelli P Zero Trofeo R yang merupakan komponen standard boleh diganti dengan tayar slick Pirelli khusus untuk litar. 

Jadi apa yang istimewa dengan R Pack? Senarainya boleh dilihat seperti berikut:

  • MSO Defined Titanium SuperSports Exhaust – 5 dB lebih kuat berbanding pilihan dalam Sports Series sedia ada. Menggunakan kemasan Gloss Nano Black.
  • Skup bumbung dengan kemasan karbon (Gloss Finish Visual Carbon Fibre Roof Scoop). Inspirasi dari McLaren F1 Longtail.
  • Skup kemasukan udara (Roof Scoop) dengan induksi bunyi udara aktif yang menambah keasyikan pemanduan.
  • Roof Scoop boleh dipasang kamera dan disambungkan kepada McLaren Track Telemetry (MTT) bagi merakam sesi pemanduan di litar.
  • Liang fender dengan kemasan kilat gentian karbon dari MSO Defined (MSO Defined Gloss Finish Visual Carbon Fibre Front Fender Louvres).
  • Carbon Fibre Interior Pack untuk bahagian dalaman.

Harga yang ditawarkan untuk MSO R Pack ialah £25,000 (RM135,455) dan lebih murah berbanding pembelian secara berasingan.

Kereta hebat, prestasi luar biasa dan hanya 225 unit McLaren 620R sahaja dibina untuk pasaran antarabangsa.

BACA: McLAREN 720S LE MANS RAI KEMENANGAN 1995, TERHAD DAN RIM TU LAWA!

BACA: UJIAN McLAREN SPEEDTAIL XP2 CECAH 403KM/J!

BACA: McLAREN 620R – KERETA LUMBA SPESIFIKASI GT4 YANG HALAL DI JALAN RAYA

Google ads
Back to top button