Buletin

MEMASUKI DI PASARAN THAILAND HANYA KHABAR ANGIN, FOKUS PELABURAN DI MALAYSIA – GEELY

Hujung Mei lalu, Reuters melaporkan bahawa Geely merancang untuk memasuki pasaran Thailand dengan mempertimbangkan beberapa model kenderaan elektrik serta perancangan mendirikan kilang pemasangan.

Walau bagaimanapun, Geely baru-baru ini menyatakan bahawa perkhabaran memasuki pasaran Thailand hanyalah khabar angin. Geely juga enggan memberikan butiran lebih terperinci mengenai perkara tersebut.

Setelah itu, Headlightmag melaporkan pembuat kereta berkenaan dikatakan membatalkan pelaburannya di Thailand dan memberi fokus kepada mengubah Tanjung Malim, Perak menjadi bandar auto terbesar di rantau ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sebelum ini, Geely sedia  melabur USD10 bilion (RM45.6 bilion) bagi merealisasikan projek tersebut.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, hasrat Geely itu berpotensi melonjakkan ekonomi serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Syarikat Geely, yang bekerjasama dengan Proton, mereka tulis surat kepada saya sepanjang 10 halaman. Beritahu mereka nak teruskan rancangan menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.”

Sementara itu, Lembaga Pelaburan Thailand turut mengadakan perbincangan dengan pengeluar utama EV lain seperti BYD, Cangan Automobile, JAC Motors serta Jiangling Motors Corp.

“Semua pihak menyatakan minat terhadap polisi Thailand untuk membangunkan pengkalan pengeluaran EV serantau serta mewujudkan rantaian bekalan EV bersepadu,” kata Setiausaha Agungnya, Narit Therdsteerasukdi.

Google ads
Back to top button