Buletin

MENITI USIA – PERODUA ALZA 2018 BAKAL DILANCAR BULAN INI

Sejak kami mendedahkan kemungkinan kelahiran model facelift Alza pada bulan lepas, ramai yang bertanya apakah Alza akan mendapat model baru sepenuhnya? adakah ia model gantian penuh dan bukan lagi facelift?

Logik yang diguna pakai ialah Alza merupakan model Perodua paling lama dalam pasaran sejak dilancarkan pada 2009.

Perodua Alza bagimanapun sudah menerima facelift pada tahun 2014 menerusi bampar depan belakang baharu, skirting sisi, rim baharu dan varian Advance yang ditambah dengan kamera undur, skrin pada papan pemuka dan kerusi salutan kulit.

BACA: PERODUA TURUN HARGA SELEPAS SST

Setelah empat tahun dalam pasaran, (selepas model facelift), Alza tidak menerima apa-apa pembaikan.

Jika dilihat pada struktur model-model Perodua, MPV kompak inii adalah model top of the range tetapi dari segi ciri-cirinya, ia jauh ketinggalan berbanding dengan adik-beradiknya yang lain.

Ketika Myvi pun sudah ada teknologi lampu LED, sistem masuk tanpa kunci (keyless), ASA dan ESC (pada semua vairan), Alza hanya ada ABS.

Walaupun Alza masih merupakan MPV terlaris dalam kelasnya, Perodua sedar, mereka perlu mengemaskini supaya nampak lebih segar. secara teknikalnya, mereka tak mungkin melancarkan model baru sepenuhnya kerana di Jepun, Daihatsu/Toyota tiada model gantian Sette/Boon Luminas.

Ya. Alza Jepun (Daihatsu Boon Luminas sekarang) sudah tamat pegeluarannya dua tahun lepas dan tiada model susulannya selepas itu. Secara teorinya juga, Perodua mungkin tidak berupaya membangunkan sendiri model Alza untuk pasaran domestik Malaysia yang kecil.

Beberapa hari lepas, tersebar foto Alza dengan kemasan bampar hadapan dan belakang baru. Perodua juga telah menyiarkan “teaser” rasmi Alza baru di laman facebook mereka.

BACA: PERODUA ALZA BARU DI FB PERODUA

Pun begitu, pembaharuan yang dibuat kali ini tidak banyak. Memandangkan ia masih lagi menggunakan platform lama, pengubahsuaian besar seperti sistem tanpa kunci, lampu LED, ESC dan pertambahan beg udara sukar dilakukan. Ia melibatkan ujian kelulusan homolagasi yang rumit dan tidak berbaloi dengan usia pengeluaran kenderaan itu sendiri.

Adalah dijangka, Alza facelift 2018 bakal menjadi versi terakhir bagi segmen MPV Perodua dan jika melihat kepada susur galur model-model Perodua moden yang semakin pendek usia pengeluarannya (tujuh ke lapan tahun).

Alza pula sudah memasuki tahun pengeluaran ke 10 tahun ini, paling lama selepas Perodua Kancil (16 tahun) dan Rusa (12 tahun).

  • Kenari 2001-2009 (9 tahun)
  • Kelisa 2000 – 2007 (7 tahun)
  • Viva 2007 – 2014 (8 tahun)
  • Perodua Myvi 2005 – 2011 (7 tahun)
  • Perodua Myvi Gen 2, 2011 – 2017 –  (7 tahun)

Seperti yang dapat dilihat pada brosur yang tersebar di laman sosial beberapa hari lepas, Alza 2018 ini hanya menerima perubahan kecil. Antaranya;

  • Bampar hadapan, bampar belakang dan skirting sisi baharu.
  • Rekaan menter dengan grafik baharu
  • Corong aircond dengan satu slot tambahan di tengah (yang berkemungkinan jenis kekal seperti Honda Stream RN6) – Ia direka untuk membantu mempercepatkan aliran udara sejuk ke bahagian penumpang belakang.
  • Salutan kerusi kulit rekaan baharu (pada model Advance)
  • Pemain utama audio dengan rekaan baru bersama navigasi GPS dan sambungan  smartlink (android)
  • Sensor parkir pada bampar hadapan

Berkenaan harga, belum ada infomasi yang terdedah. Namun kami percaya, dengan perubahan ini, Perodua masih mampu menyerap kos yang terlibat. Kami juga optimis, tiada kenaikan harga yang berlaku.

Dan mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya bila agaknya Perodua akan menggantikan Alza dengan platform 100 peratus baru?

Menarik. Ia akan menerima model baharu tetapi tidak dalam masa yang terdekat.

Perodua masih ada SUV yang belum dilancarkan lagi dan selagi SUV tersebut belum ke pasaran, Alza baru bukanlah dalam perancangan terdekat mereka.

Tapi, ia sekadar spekulasi kami.

GALERI

 

Google ads
Back to top button