Buletin

MERCEDES-AMG GLB35 4MATIC 2024 DILANCARKAN – JANA 306HP, HARGA BERMULA RM418K

Sempena acara Mercedes-Benz World yang berlangsung dari 5-7 Julai ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan Mercedes-AMG GLB35 4Matic 2024 ke pasaran tempatan.

Dari luaran, ia tampil dengan lampu hadapan Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, suspensi AMG Ride Control, AMG Dynamic Select dan diserlahkan lagi menerusi rim aloi AMG bersaiz 20-inci serta angkup brek berwarna merah.

Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi NTG7 serta dua skrin 10.25-inci, sistem audio surround Burmester dan menerima sokongan Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar.

Perincian lain termasuklah tempat duduk sport kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut, roda stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa, tali pinggang keselamatan berwarna merah, lampu ambien 64-warna serta pad pengecas tanpa wayar.

Beralih pada kuasa, Mercedes-AMG GLB35 4Matic 2024 dijana oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo, berupaya menghasilkan 306hp.

Ia dipadankan dengan sistem penjana pemula pacuan tali sawat (RSG) 48 voltan yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 13hp.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan, membolehkan jentera ini mempunyai daya pecutan 5.5 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.

Untuk keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemanduan yang merangkumi Parking Package dengan kamera 360-darjah, Active Parking Assist, Driving Assistance Package, Active Distance Assist Distronic, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist serta Exit Warning Assist.

Untuk harga pula, Mercedes-AMG GLB35 4Matic 2024 boleh dimiliki pada harga bermula RM418,888.

GALERI:

Google ads
Back to top button