Buletin

MERCEDES-AMG GLC 43 4MATIC COUPE. CKD PEKAN, 390HP/520NM, RM499K SEUNIT

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini melancarkan SUV berprestasi tinggi, Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé ke pasaran tempatan. 

Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé  dikuasakan oleh enjin V6 bersesaran 3.0 liter berkuasa 390hp (naik 23hp) dengan kuasa tork 520Nm yang boleh dicapai di antara 2,500 hingga 5,000rpm.

Peningkatan output enjin itu adalah hasil talaan perisian baharu dan penggunaan pengecas turbo lebih besar. 

Kuasa itu disalurkan ke roda melalui transmisi 9-kelajuan automatuk AMG SPEEDSHIFT TCT untuk pemanduan penuh mengujakan. Pemandu boleh menukar kedudukan gear secara manual menggunakan tul gear atau paddle shifter. 

Padanan rangkaian kuasa tersebut membolehkan SUV itu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.9 saat dengan kelajuan maksimumkan dihadkan secara elektronik pada 250km/j. Keupayaan pengendalian dimantapkan lagi dengan sisten pacuan empat roda AMG Performance 4MATIC.

Pemandu ditawarkan dengan lima mode pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual yang hadir bersama karekter pemanduan berbeza. 

Dari segi luaran, penampilan Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé dibezakan melalui sepasang lampu utama LED MULTIBEAM bersama ciri bantuan lampu tinggi adaptif dan kemasan krom melintang pada bahagian gril radiatornya.

Pandangan sisi pula diserlahkan dengan pemijak berwarna perak serta padanan rim AMG5 jejari berkembar  bersaiz 21 inci. 

Jika pakej AMG Night dipilih, ia hadir dengan kemasan luaran berwarna hitam berkilat.

Elemen sporty diteruskan ke ruang kabin. Ia dapat dilihat dengan jelas menerusi penggunaan tona pada seluruh kabin, di samping jahitan dan tali pinggang keledar berwarna merah. Keselesaan dipertingkatkan lagi dengan balutan kulit Artico pada tempat duduk. 

Stereng rekaan rata pada bahagian bawahnya pula dibalut dengan kemasan Nappa gentian mikro. Butang Touch Control pada stereng membolehkan pemandu mengawal sistem infohibur dan talaan kenderaan dengan mudah.

Skrin sentuh bersaiz 10.25 inci pada papan pemuka didatangkan dengan sistem infohibur MBUX. Sistem MBUX itu boleh dikawal menerusi pergerakan atau arahan suara “Hey Mercedes”. 

Manakala paparan instrumen bersaiz 12.3 inci memaparkan segala maklumat pemanduan dengan jelas. 

Model yang dipasang di kilang Mercedes di Pekan, Pahang itu boleh anda miliki pada harga RM498,722 seunit.

Jika dibeli menerusi pelan pembiayaan agility daripada Mercedes-benz, bayaran bulanan adalah sekitar RM4,987 sahaja. 

GALERI

Google ads
Back to top button