Buletin

MERCEDES-AMG TIDAK BERCADANG UNTUK SELAMATKAN ASTON MARTIN

Aston Martin menghasilkan antara kereta paling cantik dunia seperti Vantage dan DBS Superleggera.

Biarpun begitu, Aston Martin kini masih berdepan masalah kewangan. Situasi itu menyebabkan timbul spekulasi bahawa rakan teknikalnya, Mercedes-AMG mungkin akan mengambil alih saham dalam Aston Martin dalam usaha menyelamatkannya.

Khabar angin itu kedengaran logik kerana Mercedes-AMG banyak membekalkan enjin kepada pengeluar kereta Britain tersebut. Namun, perkembangan itu dinafikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes Benz, Ola Kallenius.

Kallenius menegaskan bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meningkatkan pegangan saham 5 peratus sekarang dalam Aston Martin.

“Kami tidak merancang untuk menambah pegangan saham. Tetapi, kami mempunyai kerjasama yang berjaya dengan Aston Martin dan ia akan diteruskan,” kata Kallenius.

Baru-baru ini, Mercedes-Benz mengumumkan ia mahu mengurangkan kos dalam usaha memindahkan teknologi baharu ke dalam model lebih merah. Jadi, agak mustahil untuknya menyelamatkan Aston Martin pada masa sekarang.

Namun, ini tidak bermakna Mercedes-Benz tidak mahu membantu Aston Martin.

Malah, awal tahun ini bekas Pengerusi AMG, Tobis Moers telah menggantikan Andy Palmer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aston Martin. Bukan itu sahaja, bos Mercedes-AMG F1, Toto Wolff dilapor telah membeli 14.5 juta saham dalam Aston Martin.

Biar apa pun yang akan berlaku nanti, Mercedes-Benz nampaknya kekal kukuh dan masa depan Aston Martin agak kabur. Jelas lah James Bond pun tidak dapat membantu perniagaan yang tidak dijalankan dengan baik.

Google ads
Back to top button