MERCEDES BENZ A200 PROGRESSIVE LINE, 18.3KM/LITER
Mercedes Benz A Class telah berada di pasaran global dalam 4 generasi tapi uniknya hanya generasi ke 4 sahaja ia ditawarkan dalam 3 rekaan samaada kompak, sedan ataupun sedan dengan jarak antara roda yang lebih panjang bagi pasaran China.
Bagi negara Eropah seperti UK, ia dijual dengan harga permulaan sekitar 27,000 pound sahaja, disasarkan kepada pembeli muda dan bersaing dengan jenama mewah lain seperti BMW 218i. Dari segi rekaan luar, Mercedes Benz A200 direka dengan menggunakan beberapa ciri inspirasi dari model yang lebih mahal
Sekali pandang anda tidak nampak sangat perbezaan antara A200 dengan model Mercedes Benz yang lain contohnya C300 kecuali anda perhatikan dengan teliti seperti rekaan lampu depan yang berbeza. Untuk rekaan depan, model facelift kali ini datang dengan bahagian jeriji atas yang dihitamkan sepenuhnya.
Manakala jeriji bawah direka supaya nampak lebih agresif dan lebih tajam berbanding model sebelumnya. Hud depan pula diberikan rekaan baru yang berlekuk menghasilkan imej baru pada A200. Melengkapkan lagi transformasi ini ialah rekaan lampu depan dengan DRL yang lebih ringkas.
Di bahagian sisi pula, Mercedes menukar rim bersaiz 18 inci kepada 17 inci rekaan yang aerodinamik. Bahagian belakang pula menerima lampu belakang yang nampak lebih mahal serta diffuser baru di bahagian bampar
Mercedes juga mengekalkan format 2 skrin bersaiz 10.25 inci setiap satu pada ruang kabin A200. Satu skrin untuk paparan maklumat pemanduan serta meter digital dan satu lagi skrin adalah untuk sistem multimedia yang dioperasikan dengan Mercedes Benz User Experience atau MBUX
Sistem MBUX yang terbaru ini ditawarkan tanpa ciri touch pad di bahagian tengah konsol tapi lengkap dengan sambungan Apple Car Play serta Android Auto tanpa wayar. Ruang kabin ini juga turut menerima stering rekaan baru yang lebih bergaya
Terdapat 4 mod pemanduan ditawarkan samaada ECO, Comfort, Sport dan Indvidual yang akan menala ECU enjin, stering dan transmisi mengikut pemanduan anda. Corong penyaman udara rekaan turbin ini masih lagi menawarkan lampu kabin sebanyak 64 warna yang boleh berubah.
Tapi bukan sahaja corong penyaman udara, tapi meliputi kemasan pintu, ruang kaki dan juga papan pemuka diserikan dengan LED berwarna. Mungkin pada sesetengah pembaca, ia kelihatan seperti berada di kedai tomyam Siam.
Dengan jarak antara roda ditetapkan 2729mm, ruang belakang sebenarnya cukup luas untuk memuatkan 3 penumpang dalam satu masa. Kusyen barisan belakang boleh dilipat dalam 3 bahagian dengan ratio 40:20:40 yang boleh membesarkan ruang kargo daripda 420 liter menjadi 1200 liter
Untuk ruang belakang juga, tiada corong penyaman udara disediakan melainkan terdapat 3 corong penyaman udara dihala ke belakang, satu poin USB jenis C dan juga perehat tangan lengkap dengan tempat meletak minuman.
Mercedes Benz dibina dengan menggunakan platform Modular Front-Drive Architecture (MFA) ditawarkan dengan 2 pilihan suspensi belakang samaada torsion beam ataupun Multilink. Bagi varian A200 ia datang dengan torsion beam manakal A250 dipasang dengan Multilink.
Perbezaan utama ialah peningkatan kualiti keselesaan yang ditawarkan oleh A200 yang kini menggunakan rim bersaiz 17 inci dan juga tayar Bridgestone Turanza bagi menggantikan tayar Hankook Run Flat yang keras. A200 berupaya menyerap permukaan jalan tidak rata dengan baik dan masih lagi beraksi dengan santai di selekoh.
Pengalaman pemanduan dari Simpang Pulai ke Cameron Highland membuktikan cesi MFA yang digunakan oleh A200 ini seimbang dari segi keselesaan dan juga dinamik pengendalian biarpun menggunakan torsion beam. Mungkin 60% tetapan adalah untuk keselesaan dan 40% adalah untuk pengendalian
Sistem ESC akan membiarkan kita bermain sedikit di selekoh sebelum ia diaktifkan bagi membetulkan bahagian belakang agar tidak membuang, jika dipandu dengan agresif. Enjin 4 silinder 1334cc yang menghasilkan sekitar 160 kuasa kuda dan 250Nm tork dari 2000RPM masih lagi dikekalkan bersama sama transmisi DCT 7 kelajuan
Dengan beberapa perubahan aerodinamik dan mengecilkan penggunaan rim dari saiz 18 ke 17, varian A200 terbaru mampu mencapai penjimatan bahan api yang ketara. Jika varian terdahulu hanya berupaya memberikan 12km/liter, varian terbaru menawarkan sehingga 18.3km bagi setiap liter petrol.
Ia masih lagi menawarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 8.3 saat dan mencapai halaju tertinggi 230km/jam. Anda boleh mengawal penggunaan gear dengan sistem paddleshift bagi mendapatkan kedudukan gear yang agresif sewaktu memandu atau digunakan sebagai “engine braking”
Malah sistem paddle shift juga menawarkan ciri ECO, menasihatkan bila anda perlu menukar gear untuk penggunaan bahan api yang cekap. Penggunaan sistem cakera pada semua roda menawarkan cengkaman yang padat, apatah lagi sistem brek disokong oleh Active Brake Assist.
Brek Kecemasan Automatik atau AEB yang digunakan wajar dipuji, boleh mengesan kenderaan lain biarpun di persimpangan jalan. Kebiasaannya ia akan menghasilkan bunyi amaran sepanjang pemanduan penulis sebelum melakukan brek kecemasan
Biarpun tidak ditawarkan dengan ciri kamera 360, A200 diberikan ciri Parking Assist di mana ciri ini akan membantu anda memasuki parkir dari sisi ataupun parkir menegak. Sistem Amaran Titik Buta juga akan bertindak memberikan amaran sekiranya ada kereta lain yang datang dari arah belakang sewaktu pintu dibuka. Lampu kabin akan bertukar menjadi merah sebagai amaran kepada pemandu dan penumpang.
Mercedes Benz A200 disasarkan pada pembeli muda dengan rekaan dalam yang ranggi tetapi bahagian luarnya mengekalkan nilai ekstetik dan klasik Mercedes serta mementingkan keselesaan. Imej A200 kekal premium dengan harga RM 238,000 bersama sama 4 tahun jaminan dan juga ruang yang lebih besar berbanding dengan varian hatchback