MERCEDES BENZ E 350e PHEV, LAGI BAIK DARIPADA BMW 520i?
Rekaan terbaru Mercedes Benz E-Class E350e memang nampak menarik, tak terlalu sporti dan juga tak terlalu nampak matang untuk orang berumur 50an. Tapi sebenarnya ia hasil tangan Gorden Wagener, jururekabentuk yang sama menghasilkan Mercedes Benz SLR McLaren, barisan model EQ dan juga hypercar AMG One.
Bagi membezakan dengan model yang lama, rekaan lampu depan dan jeriji depan hexagonal diberi rekaan yang baru dengan latar belakang hitam seperti model EQ. Hanya jeriji bawah sahaja yang mengekalkan bahasa rekaan yang sama dengan model sebelumnya.
Namun penulis masih lagi berpendapat, alangkah bagusnya kemasan bampar bawah diberikan kemasan krom ataupun cat berwarna perak. Rekaan belakang pula diserikan dengan lampu rekaan baru dengan unsur 3 bintang logo Mercedes.
Tombol pintu pula menggunakan rekaan tombol sama seperti model EQE iaitu “flush door handle”.Bagi model E350e terbaru, soket pengecasan untuk bateri sistem PHEV sebesar 25.4kWH berada di sebelah kiri.
Bateri dan juga sistem PHEV ini menjadikan berat model E350e lebih berat 340kg berbanding dengan model E200 yang hanya seberat 1850kg sahaja. Kedudukan bateri yang berada di dalam ruang but juga menyebabkan ruang but belakang hanya mampu menawarkan ruang sebesar 370 liter.
Bagi model E350e terbaru, ia dibina dengan menggunakan platform MRA (modular rear architecture 2) yang baru, dengan sistem gantungan Multilink pada roda depan dan 5 Link pada roda belakang lengkap dengan Agility Control.
Sistem Agility Control datang dengan penyerap hentakan yang direka dengan sistem injap, membuka injap untuk laluan biasa dan menghasilkan keselesaan. Atau menutup injap jika mengesan perubahan beban yang mendadak dan menghasilkan yang lebih keras
E350e juga diberikan enjin serba baru dengan kod M253 2000cc turbo 4 silinder yang menjana sehingga 201 kuasa kuda dan 320Nm tork. Selain blok dan kepala silinder dihasilkan daripada aloi aluminium, enjin ini juga diberikan suntikan bahan api terus serta sistem kawalan injap Camtronic.
Ia dipadankan dengan gear 9 kelajuan dengan semua kuasa akan dihantar ke roda belakang. Motor elektrik pula ditanam di dalam kotak gear dan menghasilkan sekitar 127 kuasa kuda dan 440Nm tork, dengan gandingan motor elektrik dan enjin menajan 309 kuasa kuda dan 550Nm tork.
Rekaan dalaman E350e juga adalah baru, menempatkan sistem MBUX Superscreen dengan 3 skrin berasingan sebesar 12.3 inci, 14.4 ini dan meter digital untuk pemandu 12.3 inci yang dipasang pada sudut yang lebih tepat untuk mata pemandu
Terdapat 3 camera yang disediakan, dengan kamera utama diletakkan pada bahagian tengah berfungsi untuk suapan konferen video. 2 lagi kamera dipasang pada meter, bertindak sebagai input untuk sistem Driver Attention Alert dan satu lagi untuk mengesan jika anda memandang skrin yang dipasang pada ruang penumpang
Sistem MBUX ini boleh disambung dengan Apple Car Play dan juga Android Auto, lengkap dengan 21 pembesar suara daripada jenama Burmester 4D Sound System. Apa yang menarik ialah sistem Burmester ini lengkap dengan induser yang dipasang dalam kusyen, menghasilkan getaran pada kusyen depan.
Sistem MBUX baru ini bagi penulis sangat intuitif, dengan kebolehan untuk mempelajari bagaimana setiap profail pemandu menggunakan kenderaan, melaraskan kusyen dengan hanya memasukkan ketinggian penulis, mengucapkan selamat pagi dan mengingatkan supaya mengambil telefon sekiranya kita terlupa.
Penumpang belakang boleh melayan suasana luar menerusi cermin bumbung panaroma, kusyen kulit lembu original dan juga corong penyaman udara pada bahagian belakang. Kusyen tengah juga boleh dilipat untuk memuatkan objek yang panjang.
Berikut ialah pemerhatian penulis sepanjang sesi pandu uji:
1. Kuasa enjin – memang sangat mencukupi dengan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.4 saat sahaja, manakala halaju tertinggi adalah 236km/jam. Jika bateri hibrid adalah 0%, maka penggunaan petrol adalah sekitar 14.6km/jam dengan halaju antara 110-130km/jam.
Jika bateri di caj penuh, E350e mampu mencatatka bacaan sekitar 20.7km/liter biarpun dipandu sehingga 150km/jam. Ketika digunakan, E350e boleh dipandu dalam mode Elektrik sejauh 84km dengan menggunakan bateri
2. Bateri – asasnya ialah pemilik perlu mengecas bateri hibrid bagi prestasi yang optimum, hanya mengambil masa 20 minit sahaja jika menggunakan DCFC 60kW atau satu malam jika menggunakan plug 3 pin.
3. Brek – dalam operasi hibrid, E350e akan beroperasi seakan-akan sebuah kereta elektrik dengan brek regeneratif yang sangat kuat. Brek ini akan beroperasi dengan sokongan radar, akan membrek lagi awal dari penulis dan bersepadu dengan sistem AEB.
Namun jika brek beroperasi secara automatik, pedal brek menjadi keras sedikit dan operasinya terasa sikit janggal. Namun anda masih boleh membrek kecemasan dengan cukup baik. Mungkin sesekali AEB juga akan menyebabkan tali pinggang keselamatan ditarik kemas secara tiba-tiba
4. Pengendalian – E350e cukup stabil dipandu pada halaju tinggi di jalan lurus, namun sebaik sahaja mengambil selekoh anda mungkin sedikit cuak jika meter sudah menunjukan bacaan 220km/jam.
Sistem penyerap hentak Agility Control juga wajar dipuji, menyerap kecacatan jalan dengan baik dan pada masa sama menawarkan pengendalian yang sedap ketika mengambil selekoh panjang pada halaju tinggi. Malah sewaktu penulis mencilok, kawalan cesi adalah tenang dan bersahaja.
Dari skala 10, mungkin E350e berada pada skala 7 untuk keselesaan dan lagi 3 adalah untuk pengendalian. Malah E350e adalah 15mm lagi tinggi berbanding dengan E200, menawarkan ruang yang baik ketika melalui jalan berbonggol.
5. Ergonomik – bacaan kadar kebisingan pada halaju 110km/jam adalah sekitar 49dB sahaja dan bunyi bising tayar yang dihasilkan oleh tayar Michelin adalah sangat minimum. Malah buat pertama kali penulis boleh memuji kusyen, rekaan kontur, kedudukan pedal dan stering yang direka dengan teliti. Selepas 6 jam memandu barulah terasa penat
Dalam aspek keselamatan, Mercedes juga bermurah hati dengan menawarkan semua sistem keselamatan aktif merangkumi LED Digital Light, Driver Assistance Plus, Evasive Steering Assist, Emergency Stop Assist, Safe Exit, kamera 360 darjah, sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Mercedes Me dan juga 7 beg udara.
Namun ada juga beberapa rekaan yang kurang digemari oleh penulis seperti ruang kargo yang kecil, semua pintu boleh dibuka dengan telefon tetapi hanya terhad kepada pengguna Iphone sahaj dan juga pemegang pintu yang boleh tertutup dengan tiba-tiba sekiranya anda tersilap menyentuh di bahagian sensor.
Namun kelemahan ini bagi penulis adalah sedikit sahaja berbanding dengan kelebihan yang ada seperti sistem bunyi 4D Burmester Sound System, boleh dipandu dalam mode elektrik, laju, cekap tenaga, dan juga ciri MBUX Superscreen
Mungkin harga yang dipinta iaitu RM 418,000 kedengaran seperti harga sebuah rumah, tapi bagi golongan sasaran harga ini bagi penulis boleh diterima terutam bagi lelaki berumur 40an yang kaya dan berjaya.