Buletin

MERCEDES-BENZ EQA 250 TIBA DI MALAYSIA. 190HP, 426KM SEKALI CAJ, BERMULA RM278K

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru sahaja melancarkan model elektrik pertamanya, EQA ke pasaran Malaysia. Ia dilihat sebagai inisiatif pengeluar itu untuk turut bersaing dalam pasaran EV yang semakin berkembang di negara ini.

EQA dibina berasaskan kepada platform GLA, sebuah SUV kompak popular daripada Mercedes-Benz.

Di pasaran Eropah, EQA hadir dalam tiga varian iaitu EQA 250, EQA 300 4Matic dan EQA 350 4Matic. Namun, kita hanya akan menerima varian EQA 250 buat masa sekarang.

EQA 250 dikuasakan oleh pek bateri berkapasiti 66.5kWh dan sebuah motor elektrik 190hp dan tork 375Nm yang disalurkan ke roda hadapan.

Gabungan itu membolehkannya bergerak sejauh 426km dengan sekali caj. SUV berkenaan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 8.9 saat dengan pecutan maksimum 160km/j.

Apabila menggunakan pengecasan pantas (DC sehingga 100kW), baterinya boleh dicaj daripada 10 menjadi 80 peratus dalam masa hanya 30 minit. Jika anda menggunakan pengecas AC 11kW, pengecasan penuh akan mengambil masa selama lima jam dan 45 minit.

EQA 250 didatangkan dengan kabel pengecas bersama penyambung Combined Charging System (CCS) sebagai ciri standard.

Untuk 1000 pelanggan pertama, mereka akan menikmati langganan selama setahun dengan JomCharga yang memberikan potongan sebanyak 50 peratus di semua stesen pengecasan JomCharge.

Bateri seberat 400kg yang dipasang pada bahagian bawah kenderaan berjaya merendahkan titik graviti, sekali gus menawarkan kualii pengendalian lebih mantap.

Dilihat dari luar, EQA memang nampak cukup sama dengan GLA. Bagaimanapun, perbezaan paling ketara ialah ketiadaan gril pada bahagian hadapannya. Ia sebaliknya digantikan ddengan panel radiator berwarna hitam bersama logo Mercedes-Benz EQ.

Satu jalur gentian optik digunakan sebagai penyambung di antara lampu LED utama dan lampu nyalanan siang. Bagi membezakannya dengan model ICE, lampu utama itu hadir bersama kemasan biru pada bahagian atasnya.

Melihat ke arah sisi, perbezaan diserlahkan menerusi penggunaan rim AMG lima jejari bersaiz 19 inci dengan rekaan lebih ergonomik, emblem EQA berwarna biru dan slot pengecasan.

Menjengah ke ruang kabin, ia nyata kelihatan mewah dengan skrin berkembar untuk sistem MBUX yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Selain ciri Live Traffic Information dan modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me connect.

Namun, ia dibezakan dengan kemasan dan lampu berwarna biru pada papan pemuka, corong pendingin hawa, lampu ambien, konsol tengah dan karpet lantai. Tidak ketinggalan, lampu ambien dengan pilihan 64 warna berbeza dan sebagainya.

Aspek keselamatan pula merangkumi Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan PARKTRONIC, kawalan jelajah, sistem PRE-SAFE, TPMS dan banyak lagi.

EQA ditawarkan pada harga bermula RM278,201 seunit. Sebagai perbandingan, GLA 250 CKD kini berharga RM271,164 seunit.

Bagi memberi ketenangan minda kepada pembeli, EQA hadir dengan jaminan selama empat tahun. Bukan itu sahaja, bateri pula diberi jaminan selama 8 tahun atau perbatuan sejauh 160,000km. Pelanggan yang membeli wallbox pula akan menerima jaminan selama dua tahun.

MBM juga akan mengukuhkan kerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad untuk melaksanakan pelan infrastruktur EV demi memenuhi keperluan pengguna. Buktinya pada November lalu, MBM dan Petronas telah menandatangani satu perjanjian persefahaman untuk memasang lima stesen pengecasan pantas di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur.

Dijenamakan sebagai ENERGISE by PETRONAS, kemudahan itu dilihat dapat mempercepatkan peralihan kepada EV.

MBM turut merancang untuk memasang 13 stesen pengecasan pantas (DC) di beberapa pengedar sah yang membolehkan pemilik EQA mengecas secara percuma sehingga 2023.  

Sebagai sebuah pengeluar kenderaan senior, Mercedes-Benz kini sedang giat membangunkan EV untuk pasaran global. Jadi, sekiranya anda inginkan sebuah SUV yang lebih besar, pilih sahaja EQB yang dibina di atas model GLB.

GALERI

Google ads
Back to top button