Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA UMUM HARGA EQS 450+, EQB DAN EQC. BERMULA RM330K

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) tetap komited untuk membuka jalan masa depan elektrik di Malaysia dengan memperkenalkan dan menambah tiga model baharu kenderaan elektrik mewah (EV) daripada sub-jenama Mercedes-EQ.

Komitmen itu selaras dengan hala tuju elektrifikasi global Mercedes-Benz AG pada masa akan datang.

“Mercedes-Benz Malaysia mengekalkan momentum ke arah masa depan yang mapan dengan pelancaran tambahan baharu untuk keluarga Mercedes-EQ,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Sagree Sardien.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Michael Jopp berkata tawaran EV daripada barisan Mercedes-EQ mentakrifkan masa depan kenderaan mewah di Malaysia.

“EQS ialah sedan mewah elektrik sepenuhnya pertama daripada Mercedes-EQ. Dengan EQS, kami telah mencipta kereta mewah generasi masa depan yang baharu sepenuhnya.”

EQS 450+

EQS ialah sedan EV mewah yang pertama daripada Mercedes-EQ. Ia dibina berasaskan platform modular yang menggabungkan kemewahan, teknologi, reka bentuk, fungsi serta ketersambungan demi keselesaan pemandu dan penumpang.

EQS 450+ didatangkan dengan gaya luaran dan komponen AMG, termasuklah rim aloi ringan AMG bersaiz 21 inci. Gril radiator lebar dan bumbung suria panoramik menjadikan sedan elektrik mewah itu semakin menonjol.

Ia turut dilengkapi pakej DIGITAL LIGHT yang menampilkan Pencahayaan Digital, jalur pemantul di hadapan dan Adaptive Highbeam Assist Plus. Tidak ketinggalan, pelbagai ciri mewah lain seperti MBUX Hyperscreen, sistem bunyi keliling 3D Burmester dan banyak lagi.

EQS 450+ hadir dengan kuasa 245kW (penggunaan elektrik gabungan WLTP: 19.8 – 15.7 kWj/100km) yang menawarkan jarak perjalanan sejauh 782km.

Hadir dalam varian tunggal, EQS 450+ yang dijual pada harga RM698,888 seunit (termasuk cukai jualan).

EQB 350 4MATIC

EQB 350 4MATIC ialah SUV EV kompak dengan tujuh tempat duduk yang praktikal dan menawarkan ruang untuk seisi keluarga.

Jarak roda GLB yang panjang (2,829mm) memberikan kapasiti but sehingga 1,710 liter. Tempat duduk belakang dan baris kedua boleh dilaras dalam beberapa konfigurasi untuk apa jua keperluan.

Jentera itu didatangkan dengan rel bumbung aluminium, lampu hadapan LED berprestasi tinggi, pencahayaan keliling, set kunci (satu kunci berwarna rose gold) dan ciri pengelap cermin utama automatik.

EQB 350 4MATIC juga menampilkan Electric Art dan dilengkapi rim aloi ringan 5 jejari berukuran 19 inci.

Ciri lain yang ada pada kabin EQB350 4Matic termasuklah kawalan suhu Thermotronic, pintu belakang Easy-Pack, Keyless Go, pad pengecas tanpa wayar, soket elektrik 12 volt dan banyak lagi.

EQB 350 4MATIC hadir dengan kuasa 215kW (penggunaan elektrik gabungan WLTP: 19.7 – 18.1 kWj/100km) bersama jarak pemanduan sejauh 423km.

Ia dijual pada harga RM330,000 seunit.

EQC 400 4MATIC

EQC 400 4MATIC serba baharu menampilkan kemasan luaran AMG Line yang disempurnakan dengan rim aloi ringan berbilang jejari AMG 20 inci, lampu depan LED MULTIBEAM dan pengelap cermin utama automatik.

Ruang kabin, trim AMG Line untuk EQC400 4Matic membawakan paddle shifter Direct Select, pakej Interior Light, kemasan aluminium, upholsteri kulit hitam dan balutan kulit Nappa untuk stereng.

Sistem infohibur MBUX, navigasi, ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pad sentuhan, modul komunikasi perkhidmatan Mercedes dan sistem bunyi Burmester turut disediakan.

EQC400 4Matic dijana oleh dwi-motor yang menghasilkan 408hp dan tork 765Nm. Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.1 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan pada 180km/j.

Bateri berkapasiti 80kWj menawarkan jarak sejauh 437km. Ia menyokong pengecasan AC sehingga 11kW dan pengecasan pantas DC sehingga 110 kW.

SUV itu boleh anda miliki pada harga RM390,000 seunit.

Google ads
Back to top button