Buletin

MERCEDES C350E: UNTUK SI KAYA YANG KEDEKUT

130 tahun dalam industri automotif, Mercedes menganggap mereka adalah pencetus teknologi bagi industri. Dalam dekad yang lalu, Mercedes telah menghasilkan banyak model ikonik, memberi terma baru pada pasaran kereta penumpang mewah.

Apa yang menyebabkan orang membeli sebuah Mercedes? Gaya, kemewahan dan keunggulan teknologi. Mercedes Malaysia hari ini memperkenalkan satu lagi varian C Class iaitu C350E. Baru beberapa hari lepas mereka melancarkan C Class Cabrio. Tahun ini tahun yang sibuk bagi mereka dengan pelbagai model dilancarkan.

Ia dilancarkan bersempena dengan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa (IGEM) di KLCC yang bermula hari ini hingga Sabtu nanti (8 Okt). Sebenarnya, C350 ini telah dipamerkan beberapa bulan sebelum ini, diperkenalkan tapi tidak dilancarkan secara rasmi.

Ia menggantikan C300 di pasaran dan C350 ini lebih berkuasa dengan enjin 4 selinder bersama motor elektrik. C350E plug in hybrid ini adalah saingan terus kepada BMW 330E yang telah dilancarkan pada bulan lepas.

c350e

Gandingan enjin 2 liter bersama motor elektrik ini menghasilkan sejumlah 279 kuasa kuda dan tork sebanyak, Ya. 600Nm!. Pecutan 0-100 dalam 5.9 saat dan konsumsi petrolnya ialah 2.1 liter bagi 100 kilometer.

Motor elektrik ini dapat bergerak sepenuhnya sehingga 31 kilometer dengan kelajuan tertinggi 130km/j. Sila faham betul-betul sebelum tinggalkan komen.

Ia juga C Class pertama yang menggunakan suspensi jenis airmatic. Memang tak padan dengan badan yang kecil dan suspensi berteknologi S-Class. Kami berpendapat, ia adalah kerana pertambahan pek bateri lithium-ion di belalkang but yang menjadikan keseluruhan Mercedes ini berat dan untuk sebuah jenama premium, suspensi yang selesa adalah penting. Takkan kau beli Mercedes suspensi macam Kelisa potong spring.

Mercedes Benz Malaysia memang fokus dengan produk berasaskan EEV. Mereka serius melakukan pembangunan dan memasang model premium buat pertama kalinya pada 2014 menerusi model S Class Hybrid. Sebab tu laku, sebab ada insentif dan harganya rendah bagi golongan bangsawan.

Kemudian E 300 BlueTEC Hybrid pada 2015. Pasaran dengan insentif EEV ini adalah satu kelebihan buat jenama mewah kerana mereka dapat turunkan harga menjadi sangat kompetitif. Sebagai contoh BMW 330E pada harga RM248,000 yang boleh dianggap murah kalau dibandingkan dengan model F30 siri enjin lebih besar tanpa EEV.

C350 ini pula dijual pada harga RM289,888. Mengambilkira teknologi plug-in hybrid dan suspensi airmatic, harganya memang berbaloi. Kalau tengok Lexus model IS dapat model pekak sahaja pun.

Namun begitu ia memang pasaran untuk kereta mewah. Uniknya, pasaran ini pun dah fokus pada penjimatan bahanapi. Sebab itu kami kata, kereta ini untuk si kaya yang kedekut. Kalau dia kaya tak kedekut dia beli Nissan GTR atau Honda Civic Type R FK2 atau Renault Megane RS atau A45 AMG.

Dah banyak duit beli kereta peduli apa pasal minyak ye tak?

 

Google ads
Back to top button