Buletin

JURUTERA BENDALIR LITAR BAHARU PASUKAN MERCEDES-AMG F1 IALAH ORANG MALAYSIA. TAHNIAH!

PETRONAS Lubricant International (PLI) baru-baru ini mengumumkan De Liow sebagai pemenang program pencarian Jurutera Bendalir Litar (Petronas Trackside Fluid Engineer, PTFE) 2020.

Sebagai seorang ahli pasukan litar PETRONAS, Liow bertanggungjawab memberi sokongan teknikal bendalir sepanjang musim kejuaraan tahun ini, melibatkan 22 perlumbaan kepada pasukan juara dunia 6 kali, Mercedes-AMG PETRONAS Formula One Team.

Edisi kedua program pencarian PTFE memerlukan peserta mengharungi pusingan sengit yang menguji pengetahuan teknikal, inter-personal, kemahiran berkomunikasi dan kerja berpasukan.

Jurutera automotif dari Malaysia itu berjaya meyakinkan para juri pada pusingan akhir pemilihan yang diakhiri dengan temuduga oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo.

“Tahniah kepada En De kerana menjadi jurutera bendalir terbaru kami. Sebagai sebuah organisasi, kami komited melabur ke atas bakat-bakat muda untuk menyerlahkan lagi idea inovatif yang mereka bawakan. Di samping pembangunan teknologi bendalir terbaik kepada rakan perniagaan dan pengguna kami.

“Berada dalam aksi perlumbaan Formula 1 ialah satu peluang sekali seumur hidup yang akan memberi pengalaman sangat berharga kepadanya secara peribadi dan profesional. Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada En De dan pasukannya untuk musim ini,” kata D’Arrigo.

PTFE menjalankan analisis prestasi bendalir di litar di dalam enjin F1. Ini dapat memberikan maklumat pada masa sebenar kepada pasukan mengenai kondisi komponen mekanikal enjin Mercedes-AMG F1 W11 EQ.

Mereka bekerja di dalam sebuah makmal untuk semua aktiviti berkaitan bendalir pelincir di perlumbaan-perlumbaan seluruh dunia bersama saintis dan jurutera terbaik dalam bidang ini.

“Jarang sekali anda diberi peluang seperti ini dan saya amat berbangga menjadi yang terpilih. Menjadi sebahagian daripada pasukan Formula 1 adalah impian saya sejak dahulu lagi.

“Saya akan gunakan pengalaman ini sepenuhnya untuk belajar dan terus berkembang bersama pasukan dengan memberikan yang terbaik.” kata En. De. Beliau akan bekerjasama dengan pemenang PTFE tahun lalu iaitu Stephanie Travers.

Sebagai penaja, PETRONAS dengan hasil kejuruteraan PETRONAS Fluid Technology Solutions™ melibatkan produk seperti PETRONAS Primax (minyak kenderaan), PETRONAS Syntium (minyak pelincir enjin) dan PETRONAS Tutela (minyak pelincir pelbagai)  akan berkolaborasi bersama pasukan teknikal dari Mercedes AMG High Performance Powertrains (HPP).

“Kami sudah hampir 2 dekad bekerjasama dengan PETRONAS. Saya mengalu-alukan kedatangan De Liow dalam pasukan kami sebagai jurutera bendalir litar  PETRONAS.

“Program pembangunan bakat PETRONAS berjaya memberi manfaat kepada pasukan di litar.Manakala jurutera PTFE pula memperoleh pengalaman yang berharga melalui pendedahan mereka terhadap dunia perlumbaan F1,” kata Ketua Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Formula Ine Mercedes-AMG PETRONAS, Toto Wolff.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button