Buletin

MG MULAN TRIUMPH EDITION MUNCUL DI CHINA – HATCHBACK ELEKTRIK 449 HP, 600 NM

MG kini sudah mula memasuki wilayah penawaran kenderaan elekrik berprestasi tinggi menerusi pengenalan model baharu MG Mulan Triumph Edition.

Lebih dikenali sebagai MG4 di luar pasaran China, MG Mulan Triumph Edition ini dikuasakan oleh motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa setinggi 449 hp dan daya kilas 600 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Sementara pek bateri lithium-ion berkapasiti 64 kWh pula membolehkan jarak gerak sejauh 460 km dicapai dibawah prosedur ujian China.

Sebagai perbandingan, MG4 di pasaran luar China boleh didapati dengan pilihan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, diikuti pilihan kuasa 168 hp atau 200 hp sementara daya kilas kekal pada angka 250 Nm.

Selain daripada gandingan motor elektrik yang lebih berkuasa, MG turut memuatkan ciri seperti torque vectoring, rim 18 inci yang dibaluti tayar Bridgestone 235/45, serta sistem brek yang dipertingkatkan dengan angkup brek berwarna jingga.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah EV yang berprestasi tinggi, ruang kabin MG Mulan Triumph Edition ini dilengkapi dengan tempat duduk sports balutan Alcantara, larasan elektrik sehingga enam tahap, sokongan tulang belakang dua tahap, dan roda stereng balutan Alcantara.

Ciri standard lain termasuklah skrin kluster digital tujuh inci, skrin infotainmen 10.25 inci, sistem penapisan udara kabin dan sokongan kamera keliling 360 darjah.

Setakat ini, harga jualan untuk model MG Mulan Triumph Edition masih lagi belum diumumkan.

Google ads
Back to top button