Buletin

TOYOTA GR YARIS 2026 BAKAL DILANCARKAN DI JEPUN TAK LAMA LAGI – TAMPIL LEBIH AGRESIF, JANA 300HP

Selepas menggoda peminat dengan teaser GR Corolla 2026, Toyota kini mendedahkan versi baharu GR Yaris yang tampil dengan pelbagai naik taraf signifikan — termasuk penawaran Pakej Aero Performance yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.

Toyota GR Yaris 2026 bakal dilancarkan di Jepun pada musim luruh tahun ini, khusus untuk varian RC dan RZ.

Ia menampilkan elemen aerodinamik agresif seperti spoiler bibir depan, bukaan pengudaraan pada fender hadapan, serta bonet aluminium yang turut diberi sentuhan ventilasi.

Bahagian belakang pula menampilkan sayap boleh laras, bampar dengan reka bentuk aliran udara, dan penutup tangki bahan api yang direka bagi mengurangkan rintangan angin di bahagian bawah kereta.

Untuk versi standard yang akan mula dijual Mei ini, Toyota memperkenalkan transmisi automatik yang lebih responsif dan pintar.  Penambahbaikan ini memberi tindak balas lebih tepat ketika pemanduan sporty dan pertukaran gear yang lebih efisien.

Dari sudut mekanikal, beberapa komponen penting kini dipasangkan dengan bolt lebih kukuh bagi meningkatkan ketegaran casis.

Bahagian suspensi depan dan belakang juga telah diperhalusi bagi memberi kawalan stereng lebih tajam dan kestabilan dalam laluan lurus.

Penyerapan hentakan pula ditingkatkan melalui penggunaan penyerap kejutan baharu, dengan talaan khas untuk setiap varian. Sistem stereng kuasa elektrik turut menerima penalaan unik.

Model ini hadir dengan enjin turbo 1.6 liter tiga silinder yang menghasilkan 300hp dan 400Nm tork. Sistem pacuan semua roda (AWD) adalah standard, manakala pelanggan boleh memilih sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

Selain itu, pakej bantuan pemandu Toyota Safety Sense kini ditawarkan secara standard untuk semua varian, manakala brek tangan jenis menegak yang dahulunya eksklusif untuk RC, kini boleh didapati di seluruh jajaran GR Yaris.

Harga jualan bermula dari ¥3,560,000 (sekitar RM124,500) dan mencecah ¥5,330,000 (sekitar RM186,500) untuk varian RZ High Performance.

GALERI:

Google ads
Back to top button