Buletin

AUSTRALIA TAWAR MITSUBISHI PAJERO FINAL EDITION 2022. BERAKHIR SUDAH HAYAT SUV IKONIK JEPUN INI

Menjadi salah satu SUV paling lama dijual di dunia, Mitsubishi Pajero generasi keempat sudah berada di pasaran sejak tahun 200.

Sedia maklum bahawa model ikonik itu sudah semakin hampir dengan penghujung hayatnya. Di pasaran Jepun, model Final Edition menjadi unit terakhir ditawarkan pada tahun 2019.

Kini, Mitsubishi mengesahkan tidak lagi menghasilkan Pajero sejak Mac lalu di kilang Sakahogi, Jepun. Bagi pasaran Australia, Mitsubishi akan menawarkan 800 unit terakhir Pajero.

Hadir dalam tiga varian iaitu GLS, GLX da n Exceed, SUV tujuh tempat duduk itu dikuasakan oleh enjin turbo diesel empat silinder bersesaran 3.2 liter yang mampu menjana kuasa 189hp dan tork 441Nm. Kuasa itu kemudian dihantar ke kedua-dua gandar menerusi kotak gear automatik lima kelajuan.  

Pajero dengan tangki berkapasiti 88 liter itu dilengkapi aksesori tambahan. Antaranya termasuklah pelapik hud, karpet lantai, pelindung lip kargo, selain manual dan buku servis dibalut kulit.

Naik taraf lain bagi varian pertengahan melibatkan rim 18 inci, sensor parkir belakang, pengelap cermin dengan sensor hujan, lampu automatik, tempat duduk hadapan boleh laras dan sistem audio Rockford.

Manakala varian tertinggi pula menerima kelengkapan seperti bumbung suria elektrik, upholsteri kulit, pedal aluminium, kemasan krom, jalur perlindungan sisi dan sistem penggera.

Disifatkan sebagai antara SUV 4×4 terbaik di dunia, lebih 3.3 juta unit Pajero telah terjual dalam tempoh 40 tahun. Nama Pajero akan terus hidup melalui model Pajero Sport yang dibina di atas platform trak pikap Triton.

Google ads
Back to top button