MITSUBISHI XPANDER FACELIFT 2022 MUNCUL DI INDONESIA. EVOLUSI DYNAMIC SHIELD, KOTAK GEAR CVT
Acara Gaikindo Indonesia International Auto Show dijadual berlangsung pada hujung minggu ini, tetapi Mitsubishi Indonesia dilapor telah mendedahkan versi facelift MPV/SUV terkenalnya, Xpander.
Dipasang di kilang milik Mitsubishi Motors-Krama Yudha di Bekasi, Jawa Barat, Xpander 2022 dijadual diperkenalkan di Indonesia terlebih dahulu sebelum tiba di pasaran lain termasuklah Malaysia.
Jentera tujuh tempat duduk itu jelas menerima banyak perubahan. Paling ketara ialah rekaan hadapan yang semakin agresif. Kalau model sekarang lampu utamanya terdiri daripada kiub berbentuk empat segi, model facelift pula tampil dengan bentuk T.
Wajah Dynamic Shield dikekalkan dengan perubahan gril radiator jenis honeycomb di bahagian bawah logo, selain sepasang lampu kabus yang membuatkan jentera ini kelihatan sangat cantik. Bahagian belakang dibezakan dengan rekaan lampu berbentuk T yang lebih nipis. Manakala rim pula bersaiz 17 inci dua tona dengan rekaan baharu.
Ruang kabin menerima penambahbaikan dengan susun atur papan pemuka yang lebih minimalis. Stereng baharu dilengkapi butang audio dan sistem pemanduan.
Tidak ketinggalan, sistem pendingin hawa hadir dengan ciri kawalan suhu automatik. Manakala tuil brek manual diganti kepada brek parkir elektronik yang membuatkan ruang konsol tengah lebih kemas.
Sistem infohibur pula terdiri daripada skrin sentuh bersaiz sembilan inci yang pastinya menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain sitem kamera undur dan sebagainya.
Untuk pasaran Indonesia, Xpander didatangkan dengan tona cerah pada papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk. Walaupun warna itu membuatkan ruang rasa lebih luas, namun ia pasti akan ditukar kepada warna hitam bila sampai di Malaysia nanti.
Sama seperti Xpander lama, penumpang dihidangkan dengan ruang yang luas serta pelbagai kemudahan seperti tempat meletak minuman dan port USB.
Bukan sekadar kosmestik, Mitsubishi telah menukar kotak gear automatik empat kelajuan kepada transmisi CVT yang menawarkan lebih penjimatan dan agihan kuasa lebih cekap. Enjin aspirasi biasa 1.5 liter yang mampu menjana kuasa 105PS dan tork 141Nm itu bagaimanapun dikekalkan.
Jarak kelegaan tanah juga ditingkatkan menjadi 220 hingga 225mm tanpa mengabaikan aspek keselesaan. Xpander facelift hadir dengan satu tambahan warna baharu perak metalik, di samping warna sedia ada seperti putih hitam, kelabu dan merah.
- BACA: MITSUBISHI CATAT JUALAN TERTINGGI DALAM SEJARAH. 1,872 UNIT TERJUAL PADA APRIL 2021, XPANDER PALING LARIS
- BACA: CATAT LEBIH 5,000 TEMPAHAN, TEMPOH MENUNGGU MITSUBISHI XPANDER CECAH 8 BULAN. BETUL KE?
- BACA: BERAPA KOS SERVIS MITSUBISHI XPANDER? MAHAL KE MURAH?
- BACA: MALAYSIA TERIMA XPANDER SPECS PALING TINGGI – CEO MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA