
MALAYSIA TERIMA XPANDER SPECS PALING TINGGI – CEO MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA
Sewaktu sesi prebiu Mitsubishi EXPANDER tempoh hari, saya sempat menemuramah Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi (TS).
Banyak juga yang kami bualkan. Pada asalnya hanya ada enam soalan sahaja, tetapi meleret ke soalan-soalan lain pula. Memang sedikit panjang kali ini.
Berikut adalah intipati temuramah tersebut:

MM: Apa yang membuatkan Mitsubishi XPANDER sangat menarik minat rakyat Malaysia, terutama pengguna Melayu?
TS: XPANDER sememangnya dibina untuk pasaran ASEAN. Ia bermula di Indonesia, sebelum dieksport ke Thailand, Filipina, Vietnam dan sekarang Malaysia.
Apa yang dititikberatkan adalah reka bentuk yang futuristik, ruang dalaman luas yang membolehkan tujuh orang duduk dengan selesa. Semua ciri ini sangat sesuai untuk pasaran Malaysia kerana ramai rakyat negara ini mempunyai keluarga yang besar.
Bukan itu sahaja, MMM telah mengubahsuai spesifikasi XPANDER untuk disesuaikan dengan citarasa pengguna di Malaysia. Sebagai contoh, kami pasang sistem infohibur dengan monitor bersaiz 9 indi yang tidak ditawarkan di pasaran lain. Allround Monitor (ARM), perakam video (DVR) dan tempat duduk kulit juga disertakan.
Senang cakap, kami menawarkan XPANDER spesifikasi paling tinggi kepada rakyat Malaysia berbanding negara-negara lain di ASEAN.

MM: Di Indonesia misalnya, XPANDER didatangkan dalam beberapa varian, tetapi MMM hanya menawarkan satu varian sahaja, kenapa?
TS: Selepas kami lakukan kajian, pengguna Malaysia lebih gemarkan varian paling tinggi dan lengkap. Memang betul, jika kami tawarkan spesikasi asas, harganya akan jadi lebih murah. Tetapi di Malaysia kita ada kenderaan jenama nasional, jadi pengguna akan beralih kepada produk yang lebih murah.
MM: Kenapa XPANDER hanya hadir dengan dua beg udara? Sedangkan ia adalah kenderaan yang boleh memuatkan sehingga 7 orang penumpang?
TS: Dua beg udara pada EXPANDER bukan hanya ditawarkan di Malaysia, tetapi di semua pasaran lain. Dalam segmen ini, harga yang kompetitif (bawah RM100,000) adalah sangat penting. Jika kami tambah banyak ciri lain dan kami boleh buat, tetapi harganya akan jadi lebih mahal.
Selepas membuat penilaian secara menyeluruh, kami mengambil keputusan untuk menawarkan dua beg udara sahaja.
MM: Jadi, MMM yakin pengguna boleh terima penjelasan ini?
TS: Hmmm… susah soalan ni. Saya faham pengguna mahukan lebih banyak beg udara dan kenderaan keluarga yang selamat. Kami pun mahu mendidik pengguna tentang pentingnya beg udara, tetapi kami ingin juga mengetengahkan ciri keselamatan lain yang ada seperti ARM untuk pemanduan lebih mudah dan selamat.
Setiap kenderaan ada kekuatan dan kekurangan tersendiri. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, XPANDER masih mempunyai pakej yang bagus untuk meyakinkan pembeli.

MM: Katakan MMM menerima banyak tempahan, adakah anda mempunyai kapasiti untuk memenuhi semua permintaan itu tanpa pengguna perlu menunggu terlalu lama?
TS: Maklum balas yang kami terima adalah jauh lebih baik daripada yang disangka. Kami masih belum membuka tempahan secara rasmi. Tetapi pada laman web rasmi Mitsubishi, orang ramai boleh mendaftarkan minat mereka terhadap XPANDER.
Pendaftaran minat yang diterima setakat ini adalah sebanyak 7,400 jauh lebih tinggi daripada jangkaan awal kami. Jadi, kami akan cuba untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Kapasiti pengeluaran adalah 500 unit sebulan. Nampaknya, kami perlu tambah lagi produksi.
MM: Jadi, berapa lama pelanggan terpaksa menunggu?
TS: 7,400 itu adalah pendaftaran minat. Sudah tentu saya ingin menukarnya menjadi tempahan. Tetapi buat masa sekarang, saya belum tahu berapa banyak tempahan yang akan diterima dan berapa lama pelanggan perlu tunggu. Jika angka tempahan benar-benar tinggi, pelanggan mungkin terpaksa menunggu lebih dua bulan. Kami akan maksimumkan produksi untuk kurangkan tempoh menunggu.
MM: Berapakah sasaran jualan XPANDER?
TS: Kami sasarkan untuk menjual 500 unit XPANDER sebulan dan harap dapat tingkatkan jualan selepas enam bulan pertama atau setahun.

MM: Adakah XPANDER akan menggantikan Triton sebagai model paling laris MMM?
TS: Dari segi volum, memang ada kemungkinan. Tetapi, XPANDER dan Triton adalah kenderaan yang berbezadan disasarkan kepada kelompok pengguna yang berlainan.
Sejak MMM ditubuhkan, Triton ialah produk utama kami. Pada tahun ini ketika kita semua berdepan impak penularan COVID-19, jualan Trion kekal positif. Malah jualan Triton pada tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu. Penguasaan pasaran pun naik banyak kepada 21 peratus, tahun lepas 17 peratus.
MM: Ada sebarang promosi istimewa untuk XPANDER?
TS: Buat masa sekarang kita ada promosi istimewa daripada kerajaan iaitu pengecualian cukai SST. Jadi, kami tidak ada sebarang promosi lain setakat ini.
MM: Apakah hala tuju produk Mitsubishi selepas ini?
TS: Pada akhir Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Corp., Takao Kato ada mengumumkan pelan perniagaan jangka sederhana Mitsubishi Motors. Beliau menyatakan fokus Mitsubishi Motors adalah pasaran ASEAN, melibatkan trak pikap, SUV dan MPV.
Jadi, perancangan produk kami perlu selari dengan hala tuju ini. Kami bertuah kerana berada di rantau ASEAN. Lagipun kami tidaklah besar seperti Toyota, Honda atau Nissan. Barisan model kami pun agak terhad.
Namun, tidak ada jenama Jepun lain yang menyatakan dengan jelas fokus mereka terhadap pasaran ASEAN. Sebaliknya mereka juga fokus kepada pasaran seperti Jepun, Amerika Syarikat, China dan Eropah.
Kekuatan kami adalah di pasaran ASEAN. Kami telah berada di sini sejak tahun 1960-an lagi dan memahami pasaran ini. XPANDER adalah antara hasilnya, khas untuk ASEAN dan kami akan terus tawarkan produk yang memenuhi citarasa pengguna.

MM: Adakah Malaysia akan menerima produk baharu tahun depan?
TS: Saya tidak boleh beritahu lagi sekarang. Jika Mitsubishi Japan ada tawarkan produk baharu ke pasaran ASEAN, kami akan cuba untuk membawanya ke Malaysia. Cuma, kesukaran yang kami hadapi ialah produk untuk Malaysia perlulah CKD dan ia akan mengambil masa. Apatah lagi produk CBU dikenakan duti eksais yang tinggi.
MM: XPANDER sudah beberapa tahun berada di pasaran Indonesia, kenapa ambil masa begitu lama untuk sampai ke sini?
TS: Sebabnya, XPANDER kini model CKD (pemasangan tempatan). Itulah sebabnya. Untuk pasaran Thailand, Filipina dan Vietnam, ia didatangkan dalam bentuk CBU. Cuma baru-baru ini, Vietnam mulakan program CKD untuk XPANDER.
MM: Saya lihat MMM benar-benar fokuskan jualan XPANDER kepada pelanggan Melayu. Adakah orang Cina, India atau lain-lain kurang berminat kepada XPANDER?
TS: Sudah tentu kami tidak abaikan pelanggan Cina, India dan sebagainya. Cuma, jenama Mitsubishi sangat diterima baik oleh pengguna Melayu.
Sebagai contoh, berdasarkan kepada data jualan bulan lepas, 70 peratus pelanggan adalah kaum Melayu dan angka itu terus meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
- BACA: MITSUBISHI DEDAH SPESIFIKASI PENUH XPANDER. 1 VARIAN SAHAJA, 1.5L MIVEC, BOLEH DITEMPAH SEKARANG
- BACA: MITSUBISHI ECLIPSE CROSS 2021.MAKIN CUN, RUGGED
- BACA: MITSUBISHI HENTIKAN EKSPORT SUV KE EROPAH. TIADA LAGI OUTLANDER, ASX DAN ECLIPSE CROSS
- BACA: TUTUP KILANG, MITSUBISHI BAKAL TAMATKAN PRODUKSI PAJERO TAHUN 2021
GALERI