
MODE DRIFT, INI CIRI YANG KAMI SUKA PADA KERETA MODEN
Anda pandai buat drift? Kalau pandai anda memang hebat kerana kami sendiri pun tak berapa cekap untuk buat drift. Drift sebenarnya memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengawal klac, pedal minyak gear dan juga steering serta memerlukan latihan intensif yang lama untuk menjadi sangat mahir. Apabila mahir, semua anggota badan akan memandu berdasarkan refleks dan juga memori otot.
Tapi kalau anda tidak mahir untuk melakukan drift, jangan risau kerana terdapat satu mode khas untuk anda melakukan drift di litar atau kawasan tertutup dengan hanya mengaktifkan butang drift sahaja. Biasanya ciri ini akan ditawarkan pada kereta berkuasa tinggi dengan pacuan semua roda AWD saja. Takkan nak drift pakai Axia kot.
Jika anda mengikuti nota teknikal kami sebelum ini berkenaan sistem AWD, sistem ini akan mengagihkan kuasa dari enjin kepada semua roda melalui sistem Center Differential yang terdiri dari klac. Yang paling unik ialah klac ini akan dikawal oleh ECU dan ECU ini boleh dikawal oleh pemandu dengan beberapa tetapan. Sama ada ratio 20% depan, 50% depan belakang atau 100% pada tayar belakang

Dalam mode drift, sistem ini biasanya akan mengambil kesempatan daripada kelebihan sistem ini untuk menghantar semua kuasa pada tayar belakang sahaja, sudah cukup untuk membuat kereta menjadi sedikit oversteer ketika melalui selekoh dan tayar belakang menggelungsur. Sistem ini juga akan mematikan fungsi ESC bagi memastikan tayar belakang tergelincir terus ketika selekoh ketika anda menekan pedal minyak
Sebelum mengaktifkan sistem ini, ia akan memberi beberapa amaran kepada anda mengenai risiko kehilangan kawalan apabila semua kuasa dihantar ke tayar belakang dan sistem ESC dimatikan. Sistem ini juga mengingatkan anda supaya ia hanya boleh digunakan di litar dan kawasan tertutup sahaja.
Setakat ini terdapat beberapa kereta yang menawarkan fungsi Drift Mode ini pada model prestasi tinggi mereka yang datang dengan sistem AWD. Antaranya ialah Ford Focus RS 2300cc Turbo yang menghasilkan 350 kuasa kuda. Jangan intai kat mudah, kami dah risik tak ada yang dijual. Pilihan kedua ialah Volkswagen Golf R 2000cc dengan 320 kuasa kuda, bakal membuat kemunculan pada tahun 2021.
Pilihan ke 3 ialah Mercedes AMG A45 S 4-MATIC (sistem AWD) dengan enjin 2000cc turbo skrol berkembar yang menghasilkan 415 kuasa kuda dan 500Nm tork. Anda boleh dapatkan hothatch ini dari Mercedes Malaysia dengan harga RM 460,000. Jika anda tidak mampu, komen saja “Baik beli ……..”