Buletin

MODEL BEV GENERASI BAHARU LEXUS TAMPIL LEBIH MODEN, TINGKAT KUALITI GAYA HIDUP, PERSEKITARAN

Dalam menuju ke arah mobiliti mampan untuk masa depan, Lexus percaya pelbagai aspek perlu dititikberatkan bagi memenuhi keperluan serta infrastruktur pelanggan di seluruh dunia.

Bagi Lexus, model PHEV, HEV, mahu pun hidrogen perlu dibangunkan serta digunakan pada yang tepat dan bersesuaian dengan tempat.

Tambahnya, dalam menggalakkan pembangunan BEV RZ yang menggunakan teknologi DIRECT4, fokus utamanya turut melibatkan reka bentuk lebih bergaya, prestasi Aerodinamik disokong oleh AI, manakala pereka akan menumpukan sepenuhnya pada kepekaan semula jadi.

“Apa kami harap dapat dicapai dengan BEV Factory, sebuah organisasi khusus untuk bateri EV adalah untuk mengubah masa depan dengan BEV melalui transformasi kereta, pembuatan serta cara kami bekerja.

“Melalui teknologi seperti penyepaduan bateri generasi akan datang dan teknologi baharu, kami berupaya menawarkan jarak gerak kenderaan sehingga 1,000 km,” ulasnya.

Selain itu, turut mencuri perhatian adalah platfrom modular baharu, Arene OS, sedang dibangunkan untuk BEV generasi akan datang, di mana ia membahagikan badan kenderaan kepada tiga bahagian; depan, tengah dan belakang.

Melihat pada model konsep LF-ZC atau Lexus Future Zero-Emission Catalyst, BEV generasi baharu yang akan dilancarkan pada 2026, ia disokong oleh seni bina EV baharu dan menampilkan struktur modular yang dibentuk melalui teknologi gigacasting.

Lexus mengatakan bahawa konfigurasinya membolehkan bahagian hadapan dan belakang LF-ZC menjadi bebas dari segi struktur, selain berupaya menyepadukan dengan bateri baharu.

Model berkenaan bakal dilancarkan dengan bateri yang mempunyai struktur prismatik, di mana ia akan meningkatkan julat dan mengurangkan berat.

Malah, Lexus berkata LF-ZC adalah dua kali ganda lebih ringan berbanding kenderaan elektrik bateri konvensional.

Di dalam kabin, LF-CZ dilengkapi dengan stereng baharu futuristik, skrin sentuh dengan fungsi hiburan di hadapan penumpang, pad digital menempatkan shifter, mod pemanduan autonomi dan mod pemanduan serta panoramic roof.

Secara keseluruhannya, bahagian kabin LF-CZ tampil mewah, termasuk menggunakan teknologi AI untuk sistem pengecaman suara selain, rekaan dalaman menggunakan buluh untuk penyerapan XO2 yang ketara.

Lexus belum lagi memberikan spesifikasi teknikal tetapi menyatakan bahawa ia mempunyai sistem pacuan semua roda Direct4 dan sistem steer-by-wire, serupa dengan Lexus RZ.

Untuk model LF-ZL (Lexus Future Zero-emission Luxury) pula, ia turut menggunakan seni bina BEV baharu iaitu Arene OS termasuk menggunakan bahan buluh untuk mengekalkan ciri tradisi Omotenashi.

Menurutnya, penggunaan bahan buluh bukan sahaja membantu memudahkan urusan kitar semula, malah memberi ‘perisa’ tambahan kepada elemen kemewahan model Lexus.

Untuk rekod, LF-ZL mempunyai dimensi sepanjang 5,300mm, lebar 2,020mm, tinggi 1,700mm dengan jarak antara roda 3,350mm.

Sebagai perbandingan dengan LF-ZC, LF-ZC adalah berukuran 4,750mm (panjang), 1,880mm (lebar) dan 1,390 mm (tinggi) dengan jarak roda 2,890mm.

Berbeza dengan dua model konsep didedahkan di Japan Mobility Show 2023, Lexus RZ pula didatangkan ciri gaya hidup dan merupakan model Lexus pertama yang didatangkan dengan sistem elektronik Direct4.

Biarpun berkongsi platform EV e-TNGA bersama Toyota bZ4X dan Subaru Solterra, ternyata Lexus hadir dengan perbezaan besar terutamanya dari segi kuasa.

Lexus RZ dipadankan dengan motor elektrik berkembar, berupaya menghasilkan kuasa 309hp dan 435Nm, sistem pacuan semua roda Direct4, serta pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.6 saat.

Sementara, Kelajuan tertinggi pula dihadkan kepada 160 km/j sahaja dan menawarkan jarak gerak sejauh 450km mengikut data J-WLTC atau lebih 400 km mengikut WLTP Eropah.

FOKUS PASARAN LEXUS BEV

Mengulas tentang pasaran utamanya, Lexus menyasarkan 100 peratus BEV di A.S., Eropah dan China pada tahun 2030.

“Mengapa bukan Jepun? kami menganggap bahawa Eropah, China dan Amerika Utara, dengan dasar agresif mereka ke arah neuraliti karbon termasuk infrastruktur, akan mencapai 100 peratus penggunaan BEV lebih awal berbanding wilayah lain.

“Di Jepun, kesan CO2 cenderung lebih kecil berbanding di Amerika Utara, Eropah, dan China. Bergantung pada penggunaan pelanggan, beberapa anggaran mencadangkan bahawa PHEV masih mempunyai pelepasan CO2 lebih rendah dari segi LCA (Penilaian Kitaran Hayat) menjelang 2030.”

“Di Jepun, kami akan bekerjasama dengan kerajaan dan syarikat rakan kongsi untuk mempromosikan BEV sempena penyebaran tenaga bersih dan infrastruktur pengecasan semula,” jelasnya.

Mengenai berapa lama Lexus akan terus menghasilkan kenderaan enjin petrol, Lexus memberi maklum balas bahawa ia berusaha mengurangkan pelepasan CO2 sambil menyediakan pelbagai jenis pilihan kepada pelanggan.

“Lexus menawarkan pilihan rangkaian kuasa, termasuk PHEV, HEV dan ICE berkecekapan tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan, tenaga bersih, infrastruktur serta dasar.”

Google ads
Back to top button