Buletin

MODENAS LANCAR NINJA 250 ÖHLINS. TERHAD 180 UNIT SAHAJA

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) hari ini memperkenalkan model edisi terhad iaitu Modenas Ninja 250 Öhlins.

Öhlins merupakan salah satu jenama terkemuka dalam menghasilkan teknologi suspensi untuk sukan pemotoran.

Model itu didatangkan dengan sistem suspensi Öhlins baharu dan tidak menerima sebarang perubahan lain dari aspek mekanikal mahupun kosmetik.

Padanan baharu tersebut hanya diperkenalkan untuk varian Ninja 250 tanpa ABS dan terhad kepada 180 unit sahaja.

Ninja 250 kini dipadankan dengan penyerap hentakan berketepatan tinggi dan rendah geseran yang akan memberikan keselesaan serta pengalaman menunggang yang hebat.

Ia turut memperkenalkan sistem yang sama bagi kegunaan motosikal kelas pertengahan yang dapat mengekalkan kuasa serta lebih kawalan semasa tunggangan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, model itu dipasang siap dengan suspensi belakang Öhlins jenis KA 744, STX 36 Supersport boleh laras yang turut menerima jaminan waranti penuh dari pengilang.

“Dengan padanan baharu ini, motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal tetap stabil. Lebih-lebih lagi, ia akan menjadi satu kelainan dalam segmennya,” kata Roslan.

Penghantaran akan dibuat secara berperingkat dan tersedia untuk jualan di semua rangkaian pengedar sah Kawasaki seperti yang disenaraikan di laman sesawang rasmi EMOS.

Google ads
Back to top button