Artikel PilihanMotosikal

MOTOGP 2020: APAKAH FAKTOR YANG MAMPU MENGHALANG MARQUEZ DARI MENJADI JUARA SEKALI LAGI?

Marc Marquez ialah seorang pelumba yang berjaya mencipta satu era kegemilangan sendiri sama seperti Valentino Rossi dan Giacomo Agostini. Enam kejuaraaan kelas premier dalam masa tujuh tahun perlumbaan sudah cukup untuk membuktikan kehebatan beliau. Dan sehingga ini tiada sebarang tanda yang menunjukkan prestasi Marquez semakin menurun. Bahkan beliau dijangka akan mara dengan lebih laju pada musim 2020.

Perubahan beberapa peraturan teknikal dijangka akan membuatkan perlumbaan musim ini bakal menjadi lebih menarik tetapi semestinya ramai tertanya-tanya adakah apa-apa faktor yang mampu menghalang Marquez dari menjadi juara dunia sekali lagi.

Saingan Dari Pencabar Lain

Ducati bersama pelumba harapan mereka Andrea Dovizioso semestinya sedang merangka plot baharu untuk menamatkan dominasi Marquez. Dovizioso yang sentiasa mengekori rapat Marquez selama tiga musim sememangnya mempunyai banyak kelebihan berbanding pelumba lain.

Satu lagi cabaran ialah dari kem Yamaha yang mula menampakkan peningkatan dalam musim lepas. Maverick Vinales kini sudah mampu berada di kelompok hadapan begitu juga dengan Fabio Quartararo, pelumba muda pasukan Petronas Yamaha SRT yang sudah pun mengesahkan kedudukan beliau dalam pasukan factory Yamaha untuk musim 2021.

Dalam usaha untuk merancakkan lagi pembangunan jentera mereka, Yamaha turut menggunakan khidmat Jorge Lorenzo sebagai pelumba ujian. Lorenzo yang berpengalaman menunggang Yamaha sememangnya bakal menyumbang input penting dalam usaha mereka untuk menewaskan Marquez dan Honda.

Tidak dilupakan cabaran dari pasukan Suzuki, Alex Rinns. Rinns yang sudah beberapa kali menewaskan Marquez pada saat akhir perlumbaan perlu beraksi dengan lebih konsisten jika ingin memperolehi peluang bergelar juara dunia. Suzuki juga kini bertambah yakin dengan jentera 200 mereka dan gandingan dengan Michelin mungkin cukup baik untuk pasukan itu.

Formula Kemenangan Marquez

Kelebihan Marquez yang paling utama ialah beliau sentiasa konsisten dalam setiap perlumbaan tidak kira di litar mana sekali pun. Marquez bukannya seorang jaguh kampong yang hanya hebat di litar tertentu. Beliau bijak untuk mengawal situasi dan merebut peluang pada saat yang sesuai.

Berbekalkan jentera RC213V yang disesuaikan dengan permintaan beliau selain bantuan dan pengalaman luas ketua jurutera pasukan Santi Hernandez, Marquez memang mempunyai segala sokongan dan dorongan untuk muncul sebagai juara dunia sekali lagi.

Semestinya untuk kekal sebagai juara, Marquez perlu mengulangi kembali ketenangan dan konsitensi yang dipamerkan sebelum ini. Faktor jentera pula bukannya satu masalah kerana semestinya Honda merupakan antara yang terbaik dan paling sesuai dengan gaya tunggangan Marquez. Kalau tidak masakan gandingan mereka mampu merebut gelaran juara secara berturut-turut.

Google ads
Back to top button