Motosikal

MOTOSIKAL BERTEMBUNG, TIGA MAUT. BAYI TERKELUAR DARIPADA PERUT IBU

Seorang bayi dalam kandungan dilaporkan terkeluar daripada perut ibunya selepas mereka terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Kampung Lumpur, Pasir Mas, Kelantan pada jam 7.00 malam semalam. 

Bayi yang pada awalnya dikatakan selamat itu bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM). Kemalangan yang menyaksikan dua buah motosikal bertembung itu  turut meragut nyawa ibunya dan seorang penunggang lelaki berumur 18 tahun. 

Beberapa foto kemalangan tersebut mulai tular di media sosial dengan ada yang mendakwa ia berlaku kerana kegiatan lumba haram.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Wan berkata, kejadian berlaku terlalu pantas. Namun dia sempat melihat kedua-dua motosikal bertembung. Apa yang lebih menyayat hati apabila bayi dalam kandungan ‘terkeluar’ manakala remaja itu terpelanting ke bahu jalan.

“Wanita berkenaan menunggang motosikal sambil membonceng seorang lagi kanak-kanak dipercayai anaknya.

“Mereka cuba dibantu oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan sebelum menelefon ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di perkarangan HPM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu namun siasatan terperinci masih dijalankan. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button