Motosikal

BMW MOTORRAD MALAYSIA PERKENALKAN JENTERA HERITAGE BAHARU

BMW Motorrad Malaysia hari ini memperkenalkan varian terkini ke dalam rangkaian model BMW Motorrad Heritage menerusi BMW R nineT, BMW R nineT Pure dan BMW R nineT Racer baharu.

Menyerlahkan intipati pembuatan motosikal BMW Motorrad selama lebih 90 tahun, BMW R nineT melalui reka bentuk klasik dan minimalis.

“Sejak dua tahun lalu, BMW Motorrad dilihat terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat penghantaran motosikal lebih 1,000 unit motosikal di Malaysia.

“Ini merupakan satu petunjuk positif. Bukan sahaja terhadap potensi pertumbuhan motosikal premium di negara ini, malah tarikan ke atas motosikal kami telah mencipta satu segmen motosikal yang baru,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

BMW R nineT Pure baharu ialah sebuah roadster yang asas. Manakala BMW R nineT Racer pula ialah sebuah motosikal sport separa fairing dengan rekaan klasik dan old-school. Kedua-dua model tersebut cukup popular sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

Model-model BMW Heritage ini menggunakan khidmat enjin boxer dengan sistem penyejukan cecair/udara berkapasiti 1,170cc. Mampu menjana kuasa sehingga 110hp dan tork maksimum 116Nm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Memenuhi piawaian emisi EU4, enjin itu dipasang dengan beberapa ciri terkini seperti pemetaan enjin yang baru, sistem bahan bersama tabung karbon untuk ventilasi tangki minyak.

BMW R nineT baharu

BMW R nineT menggambarkan aspek kasual dan elegan yang terbaik. Motosikal ini memiliki gayaan moden klasik yang sempurna bersama kemasan berkualiti tinggi.

Sebagai tambahan, BMW Motorrad telah melanjutkan program reka bentuk Aksesori Tulen BMW Motorrad yang merangkumi alat ganti custom “Machined” untuk BMW R nineT baharu.

Reka bentuk unik itu hasil kerjasama dengan Roland Sands, customizer terkenal yang berpangkalan di California, USA. Alat ganti pilihan “Machined Parts” termasuklah pelindung kepala silinder “Machined”, perumah lampu utama “Machined”, penutup enjin “Machined” dan bar hendal “Machined”.

BMW R nineT Pure baharu

Rekaan binaan motosikal ini berkisar kepada gabungan elemen gaya klasik dan moden, bersama perincian mewah seperti perehat kaki yang diperbuat daripada aluminium tempa bersama kemasan anod jernih.

Tangki minyak dan madgad BMW R nineT Pure baharu didatangkan dalam kemasan berwarna kelabu (Catalano Grey) sebagai ciri standard. Ia turut menyerlahkan kualiti pertukangan yang sofistikated menerusi pelbagai bentuk perinciannya.

Panel kluster instrumen nyata sepadan dengan penampilan klasik BMW R nineT Pure. Ia terdiri daripada satu speedometer bulat dengan paparan analog dan lampu indikator bersepadu. Roadster itu juga dilengkapi satu paparan LCD untuk memaparkan maklumat penting seperti masa dan jarak perjalanan.

BMW R nineT Racer

Apabila BMW memperkenalkan BMW Concept Ninety pada 24 Mei 2013 dalam acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este, ia turut membangkitkan memori jentera lagenda BMW R 90 S – sebuah motosikal yang sinonim dengan peminat motosikal berorientasikan sports suatu ketika dahulu.

BMW R nineT Racer baharu membawakan inspirasi jentera old-school yang sporty menerusi bahagian hadapan pendek dan fairing separuh. Penampilan itu kemudian digabungkan dengan teknologi moden.

Sistem ekzos besi tahan karat dengan peredam diletakkan pada sebelah kiri untuk menyerlahkan gaya motosikal klasik. Ia biasa dilihat pada model-model café racers dan roaster sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. BMW R NineT Racer dan BMW R NineT Pure baharu juga dipasang dengan rim aloi tempa yang ringan.

Tangki, fairing separuh, madgad hadapan dan bonggol tempat duduk (seat hump) BMW R nineT Racer baharu didatangkan dalam warna putih (Lightwhite). Dipertingkatkan dengan warna-warna klasik BMW Motorsport, ia memberikan rasa yang ringan, dinamik dan sporty.

Bagi pelanggan yang mahu terus melakukan ubah suai, motosikal sport klasik itu turut ditawarkan dengan tempat duduk untuk pembonceng. Selain alat ganti gentian karbon HP untuk penutup bahagian belakang, madgad, penutup snorkel pengambilan, penutup rantai pemasaan, penutup kepala silinder, penutup penghidup enjin, cagak navigasi dan banyak lagi.

Motosikal baharu dalam rangkaian BMW Motorrad Heritage ini turut ditawarkan dengan program pembiayaan khas daripada BMW Credit Malaysia. Bayaran bulanannya bermula RM1,490 untuk BMW R nineT, RM1,190 bagi BMW R nineT Pure dan RM 1,290 untuk BMW R nineT Racer.

Harga runcit (termasuk GST, tanpa kos atas jalan) model-model baharu ini ialah:

BMW R nineT                                   –           RM101,900.00

BMW R nineT Pure                      –           RM 82,900.00

BMW R nineT Racer                       –           RM 88,900.00

BACA: TOPI KELEDAR MODEN & RETRO BMW MOTORRAD

BACA: BMW MOTORRAD MULAKAN KEMPEN PEMASARAN G310R!

GALERI

Google ads
Back to top button