Buletin

MYVI CATAT TEMPAHAN 48K – BANTU PERODUA KUASAI 40% PASARAN PADA JANUARI 2018

Sehingga kini, Perodua Myvi telah mencatat lebih 48,000 tempahan dengan hampir 20,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan.

Secara keseluruhannya, lebih sejuta Myvi telah didaftarkan di Malaysia sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005.

Berdasarkan kepada jangkaan dalaman, Perodua menyaksikan jumlah jualannya sebanyak 17,693 unit pada Januari 2018 sebagai penguasaan pasaran bulanan paling tinggi dengan lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) iaitu 43,930 unit.

Sepanjang Januari, semua model Perodua kekal menjadi peneraju dalam segmen masing-masing. Myvi dengan 9,029 unit, Axia (4,085 unit), Bezza (2,776 unit) dan Alza 1,803 unit.

“Perkembangan positif ini disumbang oleh Myvi baharu, selain permintaan yang berterusan ke atas model-model lain,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Pengumuman tersebut dibuat pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur.

Pada majlis yang sama, Perodua turut menyerahkan Myvi yang ke-18,000 kepada pembelinya, Wong Wai Cheng dari Negeri Sembilan. Wong yang berusia 25 tahun membeli varian Myvi 1.5 Advance berwarna merah.

Dalam perkembangan berkaitan, Perodua dijangka membeli lebih RM5 bilion komponen dan alat ganti daripada vendor-vendor tempatan pada tahun ini. Semua model Perodua mempunyai 90 peratus kandungan tempatan. 

Google ads
Back to top button