Buletin

NAP 2020. PERODUA ANGGAP DASAR KERAJAAN KONSISTEN

Perodua menyambut baik pengumuman Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed di Menara MITI, pagi tadi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyatakan NAP 2020 memperlihatkan konsistensi dalam dasar kerajaan untuk membawa ekosistem automotif Malaysia ke peringkat seterusnya.

Ini dapat dilihat dengan sokongan berterusan terhadap lokalisasi komponen yang merupakan tulang belakang industri automotif negara.

Sepanjang dekad yang lalu, Perodua telah membeli komponen berjumlah RM43.5 bilion daripada pembekal tempatan, dengan RM5.4 bilion pada tahun lepas sahaja. Tahun ini, Perodua menjangkakan perbelanjaan hampir RM6 bilion untuk membeli komponen automotif tempatan.

Pembelian dengan jumlah sebesar itu dilihat dapat mengekal dan memperkasakan ekosistem ​​automotif Malaysia. Sekali gus menyumbang kepada ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan dan pembangunan negara.

Kerajaan juga dilihat komited dalam meneruskan program Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang telah menerima pelaburan daripada banyak pemain industri.

Perodua merupakan pengeluar EEV pertama dan terbesar di Malaysia. Setakat ini, ia telah menghasilkan dan menjual lebih 800,000 EEV.

Mengenai Industri 4.0, Perodua amat menyokong penggabungan teknologi, khususnya penggabungan teknologi komunikasi dengan automotif. Perodua telahpun membuka langkah di dalam bidang ini untuk produk-produk keluarannya.

“Mengenai teknologi autonomi pula, Perodua dengan bimbingan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu Motor Company of Japan, telahpun membuka langkah dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA). Apa yang paling penting, kami telah menjadikannya mampu dimiliki orang ramai.

“Teknologi ini akan ditambah baik sejajar dengan matlamat kami untuk memberikan mobiliti kepada rakyat Malaysia yang lebih selamat. Selain menawarkan nilai yang lebih baik,” kata Zainal.

Google ads
Back to top button