NENEK BERUSIA 103 TAHUN DISAMAN MEMANDU TANPA LESEN – BIAR BETUL NEK
Tiada apa yang pelik dengan pemandu warga emas asalkan mereka masih berupaya untuk memandu dan mampu membuat pertimbangan dengan baik. Yang menjadi masalah bila ada yang sudah sering terlupa ataupun nyanyuk tapi masih memandu ke sana sini. Itu yang sampai ada yang memandu melawan arus di lebuh raya.
Lain halnya dengan seorang warga emas yang disaman di Itali baru-baru ini. Selepas disaman didapati rupanya pemandu warga emas wanita tersebut sudah berusia 103 tahun! Cayalah nek.
Insiden tersebut berlaku bila polis Itali bertindak terhadap laporan pemanduan secara merbahaya di Bondeno, Utara Itali. Selepas pemandu tersebut berjaya dikesan, beliau rupanya seorang pemandu warga emas wanita berusia 103 tahun bernama Giuseppina Molinari. Beliau memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh. Bukan tak ada lesenlah.
Selepas disoal oleh pihak polis, Molinari rupanya bukan hanya memandu dengan lesen tamat tempoh malah kereta yang dipandunya juga tidak mempunyai perlindungan insuran. Lagi steady nek.
Mengikut peraturan, pemandu Itali mesti menjalani pemeriksaan perubatan setiap dua tahun sebaik mencecah usia 80 tahun. Jika gagal dalam ujian kesihatan, lesen memandu tidak akan diperbaharui. Polis kemudian menyaman Molinari dan menghantarnya pulang ke rumah.
Molinari ketika ditemui akhbar tempatan menyatakan beliau tidak hanya berkurung di rumah tapi akan membeli sebuah Vespa untuk memudahkannya bergerak ke mana-mana. Idea yang menarik sebab beliau tidak memerlukan lesen sebagaimana pengguna motosikal lain yang lebih berkuasa.
Namun buat masa sekarang Molinari cuma menggunakan basikal untuk bergerak ke mana-mana. Kuat betul semangat nenek ni. Macam mana gaya menunggang Molinari selepas membeli Vespa agaknya. Mahu pening balik kepala pihak polis di sana.