“NIKMAT” MENUNGGANG HARLEY DAVIDSON BERHARGA SEBUAH VELLFIRE…
Semalam, pihak media diberi kesempatan menunggang uji rangkaian motosikal Harley Davidson dari PJ ke Melaka. Dalam satu sesi tunggangan dua hala yang pendek, HD Malaysia memberi pendedahan, terutamanya dengan rangkaian baru enjin Milwaukee-Eight yang merupakan generasi baru enjin dua selinder V Twin yang dihasilkan oleh lagenda cruiser Amerika Syarikat.
Apa yang lebih menarik, Harley Malaysia juga memberi peluang kepada pihak media mencuba pelbagai variasi motosikal, iaitu motosikal dari generasi terdahulu dengan generasi terkini, untuk merasai perbezaan antaranya.
Sejujurnya, saya bukan perminat Harley. Selain mungkin sedikit menoleh bila berselisih dengan HD Sportster, motosikal besar macam polis Amerika ni saya tak tahu banyak pun.
Selepas diterangkan serba sedikit fungsi, misalnya suis signal yang pelik, penghidup yang asing dan sistem kunci keyless yang benar-benar berbeza dari kebanyakan motosikal yang pernah saya miliki atau tunggang uji, saya boleh andaikan motosikal ini memang lain dari kebiasaan.
Baiklah. Kita fokus pada kualiti pada generasi baru Milwaukee-Eight ini. Sebenarnya, ini adalah enjin generasi ke sembilan sejak syarikat ini ditubuhkan.
Ia diperkenalkan pada 2017 ke pasaran dunia dan ia adalah enjin yang telah ditingkatkan hampir ke semua segi.
Melihat dan mendengar bunyi secara spontan tak akan nampak apa perbezaannya, namun setelah menunggang uji model sebelumnya, barulah kita sedar yang Harley sudah “insaf”, mereka sudah mula mendengar apa pendapat majoriti pengguna motosikal moden.
Tork enjin ini lebih baik pada putaran RPM sederhana. Ia memecut lebih pantas dan kelebihan 10 peratus tork berbanding enjin lama memang sangat jelas boleh dirasai.
KURANG PANAS
Ya, motosikal yang saya tunggang dalam perjalanan dari PJ ke hentian pertama di Seremban R&R ialah Streetglide tahun 2011. Apa yang boleh saya beritahu, enjinnya panas menggoreng kaki yang membuat saya terfikir…
“Macamana geng Harley boleh konvoi dengan motor ni berjam-jam lamanya?
Mungkin mereka pakai seluar kulit dan but yang tebal agaknya.
Dalam perjalanan balik, saya menunggang model terbaru dan ya. Ia terasa sangat berbeza. Kepanasannya agak neutral, hampir sama dengan rata-rata sportbike moden.
KURANG GETARAN
Pada hemat saya, ini bukanlah masalah besar. Ia adalah ciri unik sebuah Harley Davidson. Kalau enjin tak menggegarkan perut yang boroi, bukanlah Harley namanya. Baik bawak jaguh.
Namun beza gegeran antara generasi lama dengan model terbaru sangat ketara. Model baru ini dipasangkan dengan sebuah pengimbang balas dalaman yang dikatakan menghilangkan 75 peratus gegeran keseluruhan enjin.
Tapi jangan bimbang, ia masih ada “vibrate” V-Twin tipikal sebuah Harley!
BUNYI EKZOS LEBIH SEDAP
Ya. bunyi ekzos walaupun standard, sangat merdu, gaya cruiser Amerika.
Sebenarnya, jurutera telah menaiktaraf enjin dengan injap yang lebih ringan, komponen tali pacuan yang ditingkatkan, lubang kemasukan udara dan bahagian mekanikal yang “disenyapkan”.
Bila enjin dah senyap, mereka tala semula ekzos supaya dapat bunyi yang cukup garang tetapi masih menepati had bunyi yang ditetapkan oleh peraturan industri motosikal.
SUSUNAN INSTRUMENTASI & INFOTAINMEN
Motosikal ini dah dibuat sama fungsinya macam sebuah kereta mewah. Panel instrument dengan monitor yang jelas memaparkan semua fungsi. Ia ada sambungan bluetooth, sistem audio, telefon dan pelbagai lagi
Pendek kata, Harley generasi baru masih mengekalkan sifat asal Harley yang “kasar”, namun mengimbanginya dengan teknologi moden. Kalau tidak, memang tak berdaya sainglah jawapnya.
Ya lah, takkan nak dengar radio analog dah 2019 ni.
Walaupun sesi tunggang uji semalam adalah singkat dan hanya menggunakan laluan lebuhraya sahaja, ia memadai untuk kami rakan media memahami sebuah Harley. Kerana rata-rata kami tidak pernah atau jarang menunggang motosikal jenis ini.
Motosikal Touring Streetglide dan Roadglide ini juga tidak murah tuan-tuan. Tanda harga asas sahaja sudah hampir RM200K. Tambahkan lagi opsyen tambahan dan anda boleh beli sebuah kondomunium.
Tapi yang beli motosikal begini tidaklah duduk di PPRT. Tak payahlah nak komen “baik beli rumah”.
Ia sebuah produk mewah yang disasarkan kepada penunggang yang mementingkan gayahidup, premium dan eksklusif. Ia jadi simpanan pengumpul koleksi dan juga penggemar jenama klasik Amerika…