Buletin

NILAI KEKAYAAN CEO XPENG MEROSOT SEBANYAK 75% GARA-GARA PERANG HARGA TESLA

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama kenderaan elektrik dari China, Xpeng, He Xiapeng, dilaporkan kini mempunyai nilai kekayaaan AS$1.4 bilion (RM6.4 bilion), merosot sebanyak 75 peratus berbanding 2021.

Menurut Forbes, meskipun kekayaannya merosot namun He Xiapeng masih menjadi orang ke-2,048 terkaya di dunia.

Forbes bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bagaimana ia mengira kekayaan He Xiapeng, tetapi beliau memiliki 20.5 peratus saham kelas A Xpeng pada 31 Disember 2022.

Saham Xpeng telah mengalami perubahan besar tahun ini selepas syarikat itu mengeluarkan pendapatan suku pertama yang mengecewakan pada Rabu lalu.

Untuk rekod, pendapatan syarikat turun sebanyak 50 peratus berbanding setahun lalu kepada AS$569 juta (RM2.6 bilion).

Kerugian bersih suku pertama syarikat itu juga meningkat kepada AS$330,863 (RM1.5 juta) daripada AS$240,370 (RM1.1 juta) setahun lalu.

Antara faktor utama Xpeng mengalami kerugian adalah disebabkan oleh perang harga antara pengeluar EV dari China dan Tesla.

Perkara berkenaan membuatkan Xpeng turut melakukan pemotongan harga, tetapi diskaun diberikan tidak berjaya menarik perhatian pembeli dari China.

Saham Xpeng di Bursa Saham New York ditutup 2.4 peratus lebih tinggi pada AS$8.20 (RM37.61) pada hari Jumaat manakala di Bursa Saham Hong Kong, saham Xpeng naik 0.2 peratus pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Xpeng masih ada perancangan besar untuk masa hadapan termasuk merealisasikan strateginya untuk mengeksport separuh kenderaan ke luar negara.

Google ads
Back to top button