Buletin

NISSAN Z MASUK AUSTRALIA, DARI RM225K, ADA MANUAL DAN AUTOMATIK

Model ikonik Nissan Z nampaknya sudah diperkenalkan di beberapa buah negara termasuk pengumuman harga. Sebelum ini di Amerika Syarikat dan Jepun dengan yang terbaru di Australia.

Seperti Amerika Syarikat dan Jepun, pasaran Australia turut menerima model khas Proto Spec dalam warna Ikazuchi Yellow dengan bumbung Super Black.

Selain itu, Z Proto Spec istimewa dengan skema dalaman khas dan roda aloi 19 inci warna gangsa dengan angkup brek warna kuning. 

Nissan tidak menyatakan berapa jumlah ditawarkan kecuali ratusan tempahan sudah diterima.

Sebagai rujukan, Nissan 240Z pertama kali diperkenalkan di Australia pada September 1970.

Seperti biasa, Z baharu menggunakan pacuan roda belakang dengan pilihan kotak gear manual nisbah singkat. 

Nissan Z dikuasakan enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 turbo berkembar dengan output 405 hp dan tork 475 Nm.

Daya kilas itu 31 peratus lebih tinggi berbanding model sebelum ini.

Untuk pasaran Australia, spesifikasi standard Z terdiri daripada paparan TFT 12.3 inci boleh suai, skrin 8 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

Z Australia juga mempunyai kawalan mula pandu dan tiga mod pemanduan iaitu Standard, Enhanced dan Sport.

Kotak gear enam kelajuan nisbah singkat menggunakan cekam berprestasi tinggi yang dibekalkan oleh Exedy. 

Kuasa dihantar kepada roda belakang menggunakan aci pacu komposit gentian karbon. Turut dilengkapi sistem Downshift Rev Matching.

Selain kotak gear manual, pengguna di Australia boleh mendapatkan Z dengan transmisi automatik sembilan kelajuan. 

Kotak gear itu menggunakan sistem fly-by-wire untuk respon pantas dan pemandu boleh menukar gear menggunakan paddle shift.

Model automatik mempunyai dua mod pemanduan iaitu standard dan sport.

Nissan Z secara rasminya akan mula dijual di Australia pada pertengahan tahun 2022. Berapa pula harganya? 

Ada dua, harga yang disyorkan untuk Z ialah $73,300 (RM22,5715) manakala Z Proto Spec pula $80,700 (RM248,503).

BACA: NISSAN ALMERA 2022 DIPERKENAL DI THAILAND, BUMBUNG HITAM ENJIN KEKAL 1.0L TURBO

BACA: INI NISSAN Z NISMO, KERETA LUMBA UNTUK 24 JAM FUJI!

BACA: NISSAN BAWA GT-R T-SPEC KE THAI, SEMUA HABIS! GT-R R35 PUN SAMA!

Google ads
Back to top button