Hasrat Nissan Motor Co., Ltd. dan Honda Motor Co., Ltd. untuk berada di bawah satu bumbung nampaknya tidak menjadi kenyataan.
Nissan dan Honda telah bersetuju untuk menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 23 Disember 2024 bagi mempertimbangkan penyatuan perniagaan di antara kedua-dua syarikat.
Penamatan MoU turut melibatkan Mitsubishi Motors Corporation.
Sejak pemetaraian MoU, pengurusan kedua-dua syarikat termasuk ketua pegawai eksekutif telah berbincang dan mengambil kira persekitaran pasaran dan objektif penggabungan perniagaan.
Perbincangan dan pertimbangan turut melibatkan strategi pengurusan dan struktur selepas penggabungan.
Mengambil kira kepentingan penggabungan perniagaan, kedua-dua syarikat juga telah berbincang secara mendalam dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Sepanjang perbincangan, beberapa pilihan struktur gabungan telah dipertimbangkan.
Pada peringkat awal dan semasa perbincangan:
Seperti yang digariskan dalam MoU, Honda dan Nissan merancang untuk menubuhkan syarikat induk bersama dan Honda akan melantik majoriti pengarah serta ketua pegawai eksekutif melalui pemindahan saham bersama
Honda kemudian mencadangkan perubahan kepada satu struktur di mana Honda akan menjadi syarikat induk dan Nissan sebagai anak syarikat melalui pertukaran saham
Hasil daripada perbincangan:
Kedua-dua syarikat bersetuju untuk mengutamakan kepantasan dalam membuat keputusan serta melaksanakan langkah pengurusan dalam persekitaran pasaran yang semakin tidak menentu menuju era elektrifikasi
Secara kesimpulan, lebih sesuai untuk menghentikan perbincangan dan menamatkan MOU
Di sebalik penamatan ini, Nissan dan Honda akan terus bekerjasama dalam rangka kerja perkongsian strategik ke arah era kenderaan pintar dan elektrik.
Sebelum MoU untuk bergabung, Nissan dan Honda terlebih dahulu menandantangani dua MoU iaitu pada 15 Mac dan 1 Ogos.
MoU tersebut mengenai kerjasama strategik untuk era kepintaran dan elektrifikasi dan penyelidikan bersama di dalam teknologi asas bidang platform kenderaan berpandukan perisian (SDV).
Di sebalik cakap-cakap mengenai prestasi Nissan, syarikat ini mencatatkan penurunan jualan sebanyak 0.8 peratus kepada 3,348,687 unit pada 2024 berbanding 2023.
Peratusan itu sebenarnya lebih rendah berbanding Toyota dengan penurunan 1.88 peratus kepada 9,308,122 juta unit.
Peratusan penurunan Nissan juga lebih kecil berbanding Volkswagen iaitu sebanyak 1.4 peratus kepada sekitar 4.8 juta unit berbanding tahun sebelumnya.
Nota: Gambar MoU Disember 2024 Kredit gambar: Nissan