NISSAN X-TRAIL 2022 MASUK AUSTRALIA, ENJIN 2.5L, TANPA E-POWER, DARIPADA RM108K
Nissan Rogue baharu atau X-Trail di pasaran lain dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 2020. Model itu menyusul di China pada tahun 2021, Jepun pada Ogos 2022 dan Eropah pada bulan berikutnya.
Tahun 2022 juga menyaksikan X-Trail diperkenalkan di Australia pada bulan Mei dan kini sudah boleh dipesan oleh pelanggan di sana.
Walaupun model yang sama, Nissan mempunyai strategi berbeza untuk pasaran yang dimasuki.
Sebagai contoh X-Trail pasaran Eropah menggunakan enjin 1.5 liter turbo dengan hibrid ringan dan rangkaian kuasa e-POWER. Di Jepun hanya rangkaian kuasa e-POWER ditawarkan tanpa enjin hibrid.
Â
X-Trail pasaran Australia pula langsung berbeza dan digerakkan enjin PR25 2.5 liter yang menghasilkan 181 kuasa kuda (hp) dan tork 244Nm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi CVT dan pilihan pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).
X-Trail ternyata model yang popular di Australia dengan jualan sudah melebihi 282,000 unit sejak dilancarkan pada 2001.
X-Trail dibangunkan dari platform Alliance CMF-C yang turut digunakan pada Mitsubishi Outlander baharu.
Dari segi binaan, badan putih (body-in-white) X-Trail menggunakan lebih banyak bahan ringan, tekan tera (stamping) dan teknik kimpalan canggih bagi meningkatkan kekuatan dan mengurangkan berat.
Satu yang menarik ialah pintu but diperbuat daripada bahan komposit manakala pintu depan dan belakang, fender depan dan hud menggunakan aluminium.
Penggunaan besi kekuatan ultra tinggi pada struktur badan putih ditingkatkan daripada 19 peratus pada model terdahulu kepada 35 peratus dan torsional stiffness meningkat kepada 27 peratus.
Hasilnya boleh dilihat pada perincian, keselesaan dan respon lebih baik selain perlindungan sewaktu kemalangan dan menyumbang kepada kecekapan keseluruhan X-Trail.
Tetapan stereng berkuasa turut ditingkatkan dengan nisbah rak yang lebih cepat untuk respon yang lebih baik dan juga feel lebih baik pada bahagian tengah julat stereng dan mengurangkan geseran.
Sebagai sebuah kenderaan urban dan lasak, X-Trail mempunyai lima mod pemanduan iaitu Off-Road, Snow, Auto, Eco dan Sports dan boleh dipilih menggunakan tombol Drive Mode Selector.
Selain itu, keupayaan tunda ditingkatkan lebih 500 kilogram (kg) berbanding generasi dahulu kepada 2000 kg (braked/treler dengan brek) dan fungsi Trailer Sway Control didatangkan sebagai ciri standard.
Dari segi reka bentuk, X-Trail membawakan gayaan depan dengan lampu yang terpisah dua dan seperti biasa gril V-motion.
Walaupun gayaan lampu itu sudah digunakan sejak 2020, ianya masih lagi nampak relevan ditambah dengan trend semasa.
Satu lagi aspek menarik ialah gril jenis aktif untuk mengawal laluan udara ke bahagian enjin.
Bahagian sisi X-Trail menampakkan imej rugged dengan fender depan dan belakang yang mengembang dan menariknya tiang C kelihatan seperti sirip ikan dolfin.
Pada bahagian dalam, X-Trail nampak mewah melalui rekaan papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu yang moden dan pelanggan diberi pilihan untuk mendapatkan varian lima atau tujuh tempat duduk.
Selari dengan trend dan kegunaan semasa, X-Trail dilengkapi paparan Advanced Drive-Assist® Display TFT saiz 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci dan Papar Pandu 10.8 inci dalam bentangan lebar.
Dari segi keselamatan, X-Trail mempunyai tujuh beg udara dan pelbagai ciri keselamatan seperti Predictive Forward Collision Warning, Lane Departure Warning and Prevention dan Rear Cross Traffic Alert.
Turut dilengkapi Intelligent Cruise Control with Traffic Sign Recognition, Rear Auto Emergency Braking (with pedestrian and cyclist calibration), Junction Assist, Reat Seat Alert dan Driver Attention Alert.
Model ini meraih skor lima bintang ujian pelanggaran ANCAP. Teknologi separa autonomi Nissan ProPilot pula dilengkapi pada X-Trail ST-L dan ke atas.
Ada enam varian X-Trail yang ditawarkan iaitu ST 2WD, ST 4WD 7-seat, ST-L 2WD, ST-L 4WD 7-seat, Ti 4WD dan Ti-L 4WD.
Harga bermula dari 36,750 Dolar Australia (RM107,799.89) hingga 52,990 Dolar Australia (RM155,451.66).
BACA:Â NISSAN Z GT4, MODEL LUMBA LEBIH RM1 JUTA!
BACA:Â NISSAN VERSA (ALMERA) 2023 AMERIKA SYARIKAT DENGAN V MOTION BAHARU!
BACA:Â NISSAN NV200 VANETTE 4WD 2022 DIPERKENAL DI JEPUN
Kredit foto: Nissan