Buletin

NISSAN GT-R DIJUAL SECARA RASMI DI THAILAND?

Nissan mempunyai barisan produk yang menarik dan hebat. Akan tetapi tidak kesemuanya memasuki pasaran sesetengah negara. Sebagai contoh, penawaran di Eropah, Timur Tengah, Amerika, Asia kesemuanya berbeza. Yang sama hanyalah beberapa model global seperti Altima/Teana, Navara dan Sylphy.

Usahkan benua yang jauh, negara berjiran seperti ASEAN pun tidak ditawarkan dengan model sama.

Ini ada berita menarik apabila Nissan Motor (Thailand) Co., Ltd mengumumkan kehadiran Nissan GT-R di Pameran Kenderaan Antarabangsa Bangkok ke-39 pada 28 Mac ini. 

Kenyataan rasmi Nissan Thailand juga membayangkan bahawa mereka bakal menawarkan kereta berprestasi ikonik itu di sana!

Jika menjadi realiti, ini ibarat satu penghormatan buat pasaran Thailand kerana bukan calang-calang negara yang ditawarkan dengan model tersebut.

 

Walaupun negara kita di antara yang terawal ditawarkan dengan Lamborghini Urus, tetapi tidak dengan Nissan GT-R. Paling hebat pun apabila Edaran Tan Chong Motors mengimport masuk Nissan 370Z beberapa tahun dahulu.

Penawaran ini juga menjadikan Nissan mempunyai model yang agak lengkap di Thailand dari sekecil Nissan March dan Note, SUV paling laris di dunia iaitu Nissan X-Trail, pikap Nissan Navara hinggalah kereta elektrik canggih Nissan LEAF.

 

Memandangkan pengumuman ini masih baharu, tiada lagi butiran lanjut mengenai harga atau spesifikasi yang ditawarkan. Semestinya GT-R ini tidak murah tetapi lebih penting ia didatangkan dengan jaminan kilang dan pusat servis rasmi.

Dan kepada peminat tempatan, suka untuk dimaklumkan dan sebagai pengubat hati Nissan GT-R NISMO 2017 edisi terhad sudah pun mendarat di negara kita dan kini dipamerkan di Hamza Motors Kuala Lumpur.

Google ads
Back to top button