NISSAN HANYA JUAL EV, HIBRID DI EROPAH BERMULA TAHUN DEPAN
Dengan sasaran untuk mencapai 75 peratus angka jualan terdiri daripada kenderaan berelektrik pada tahun 2026, Nissan perlu mengambil langkah yang drastik.
Bermula tahun depan (2023), Nissan hanya akan menawarkan barisan model berelektrik (kenderaan elektrik EV dan juga hibrid), dan tidak lagi akan menampilkan model berenjin pembakaran dalaman (ICE) tulen.
Difahamkan, enam buah model baharu yang bakal diperkenalkan oleh pengeluar tersebut bermula musim panas tahun ini.
Menurut pengerusi Nissan Eropah, Guillaume Cartier berkata, “Dengan memanfaatkan kehadiran global kami dan perkongsian dalam pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi), ia merupakan satu detik penting bagi Nissan di Eropah dengan ketibaan produk yang paling komprehensif setakat ini.
Nissan pada ketika ini mempunyai beberapa buah model crossover, diikuti Nissan LEAF EV, Micra, serta kenderaan komersial Townstar dan Primastar.
Seperti yang dilaporkan, Nissan GT-R telah pun dihentikan penawarannnya di benua tersebut disebabkan oleh peraturan bunyi bising.
Dalam pada itu, Nissan juga sedang bekerja membangunkan ekosistem produksi yang tersendiri bagi memastikan ia dijana menggunakan sumber tenaga yang diperbaharui, demi mencapai neutral karbon penuh menjelang 2050.