" "
Buletin

NISSAN, HONDA UMUM RANCANGAN BERGABUNG – BAKAL JADI PENGELUAR KENDERAAN KETIGA TERBESAR DI DUNIA

Honda dan Nissan telah mengesahkan rancangan mereka untuk bergabung, bersama dengan Mitsubishi Motors sebagai rakan kongsi strategik.

Langkah ini dijangka menghasilkan entiti automotif ketiga terbesar di dunia berdasarkan jumlah jualan kenderaan.

Penggabungan ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam menghadapi cabaran industri automotif yang sedang berubah secara drastik, termasuk peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dan teknologi pemanduan autonomi.

Langkah Strategik di Tengah Perubahan Besar Industri

Nissan, yang sedang bergelut dengan masalah kewangan, berharap penggabungan ini dapat memberikan kestabilan dan membuka peluang baru untuk pertumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida, berkata dalam kenyataan rasmi, “Kami percaya penggabungan ini akan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami di seluruh dunia.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe, menekankan bahawa kerjasama ini adalah langkah strategik untuk menghadapi cabaran besar industri automotif.

“Ketika perubahan besar berlaku dalam industri ini, kami berharap gabungan ini akan membawa kemajuan sosial dan mencipta nilai baharu dalam mobility,” katanya.

Rancangan dan Garis Masa

Ketiga-tiga syarikat ini sedang berbincang untuk menggabungkan operasi mereka di bawah satu syarikat induk menjelang Ogos 2026.

Penggabungan ini dijangka memberi pelbagai manfaat strategik, termasuk kestabilan kewangan untuk Nissan, kerjasama teknologi serta pengembangan pasaran.

Nissan telah menghadapi pelbagai cabaran kewangan, termasuk pengurangan tenaga kerja, penyusunan semula struktur korporat, dan penutupan beberapa cawangan dengan memindahkan operasinya ke bilik pameran Nissan.

Bahkan, CEO Uchida turut mengambil langkah drastik dengan memotong gajinya sebanyak 50 peratus sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan.

Masa Depan Industri Automotif

Penggabungan ini mencerminkan trend penyatuan dalam industri automotif global, di mana syarikat-syarikat besar bekerjasama untuk menghadapi cabaran baharu seperti gangguan rantaian bekalan, keperluan peralihan teknologi, dan persaingan yang semakin sengit.

Dengan bergabung, Honda, Nissan, dan Mitsubishi berpotensi menjadi kuasa besar dalam sektor automotif, memperkenalkan teknologi inovatif dan penyelesaian mobiliti lebih mampan.

Google ads
Back to top button