Buletin

NISSAN NOTE AURA 2024 TAMPIL GARANG!

Nissan menggunakan strategi yang berbeza untuk Note dengan menawarkan tiga jenis gaya iaitu Note, Note Aura dan Note Autech Crossover.

Ketiga-tiga tampil membawa konsep tersendiri dengan Note Aura lebih kepada ciri mewah manakala Note Autech Crossover pula seperti namanya membawa gaya crossover dan lebih tinggi.

Note model yang berjasa untuk Nissan apabila digunakan sebagai pentas teknologi e-Power pada 2017. Generasi ketiga yang dikeluarkan pada Disember 2020 digerakkan nadi itu sepenuhnya.

Bermula Disember 2023, Nissan memperkenalkan Note rupa baharu (facelift) dan disusuli Note Autech pada Mei lepas. 

Kini tiba giliran Note Aura dengan rupa depan yang benar-benar garang dan selari dengan perkembangan rekaan sekarang. Turut diperkenal Note Aura 90th Anniversary dan Note Aura Autech.

Rupa depan Note Aura membawa identiti berbeza berbanding sebelum ini ibarat mahu menjarakkan diri.

Note Aura diterima baik oleh pelbagai kelompok pelanggan susulan pecutan yang lancar dan berkuasa, kawalan nyah pecut yang juga lancar dan kesenyapan rangkaian kuasa e-Power generasi kedua.

Bahagian depan garang masih lagi berpaksi pada jeriji V-Motion dan mengingatkan kepada Qashqai rupa baharu. Jeriji itu direka bagi membangkitkan ketukangan Jepun.

Tiga garisan di bawah lampu dibuat mengikut warna badan atau dark metal gray. Bampar belakang juga diubah dengan ciri-ciri sporti.

Satu lagi yang diubah ialah rim 17 inci yang menghidupkan peralihan cantik di antara cahaya dan bayang-bayang bergantung pada sudut pandangan.

Gaya itu senada dengan rim Note dan walaupun moden turut mengingatkan gaya 80-an. Rekaan jejari sebegitu juga digunakan pada LEAF.

Selain nilai kecantikan, rim Note Aura dibuat prestasi aerodinamik tinggi dengan melancarkan aliran angin pada sisi badan. Puas rasanya dapat menjadi pereka Note Aura dengan hasil keseluruhan begini.

Bahagian dalam ditambah warna Weimaraner yang diinspirasi dari anjing pemburu dengan warna coklat kelabu.

Gabungan fabrik jacquard dan kulit tiruan dengan corak monogram huruf A atau Aura dan sulaman biru hijau menaikkan lagi seri mewah kereta ini.

Kerusi pemandu dengan larasan elektrik dijadikan ciri asas untuk semua varian dan julat larasan naik dan sandar ditambah untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis pelanggan.

Laci papan pemuka kini lebih besar dan dibahagikan kepada dua aras. Port USB Type C disediakan pada bahagian belakang dan mempunyai nyalaan untuk memudahkan pengguna.

Model dengan dalaman hitam menerima kemasan corak kayu baharu selain perkakasan lain seperti panel instrumen, perehat tangan dan balutan kulit pintu dalam warna lebih suram.

Warna badan Note Aura ditawarkan dalam lima pilihan dua tona dan lapan sewarna termasuk Forest Green bagi menyampaikan rasa premium dan gambaran merentasi hutan yang dalam di Jerman. 

Note Aura 2024 kekal dengan enjin petrol HR12DE 1.2 liter 82 ps pada 6,000 rpm dan daya kilas 103Nm pada 4,800 rpm.

Motor eletrik EM47 memiliki kuasa 100 kilowatt (kW) (136 ps) dari 3,183 sehingga 8,500 rpm dan 300Nm dari 0 sehingga 3,183 rpm.

Motor elektrik MM48 untuk pacuan empat roda pula menghasilkan 50kW (68 ps) dari 4,775 sehingga 10,024 rpm dan 100Nm dari 0 sehingga 4,775 rpm.

Berkenaan harga, Note Aura dijual dari 2,779,700 yen (RM83,434) bagi model asas G 2WD sehingga 3,171,300 yen (RM95,205) untuk Note Aura 90th Anniversary yang tampil dengan pelbagai ciri khas.

Note Aura Autech pula berharga 3,050,300 yen (RM91,582) dan 3,331,900 yen (RM100,046) masing-masing untuk pacuan 2WD dan 4WD.

Kredit gambar: Nissan

Nissan Note Aura Autech:

Nissan Note Aura 90th Anniversary:

Nissan Note Aura:

Google ads
Back to top button