Motosikal

ROYAL ANFIELD CLASSIC 350 DAN METEOR 350 KINI DI MALAYSIA. 20.2HP, BERMULA RM23,500

Royal Enfield baru-baru ini memperkenalkan dua model baharu ke pasaran Malaysia. Bagi sesiapa yang mungkin kurang kenal dengan Royal Enfield, ia merupakan satu jenama cukup terkenal dari India.

Mengekalkan DNA reka bentuk motosikal klasik, pelanggan di Malaysia kini sudah boleh membeli model Classic  350 dan Royal Enfield Meteor 350 serba baharu.

Royal Enfield Classic 350

Reka bentuk klasik dengan kelengkapan moden, jentera ini menawarkan pengalaman yang lebih baik. Classic 350 dikuasakan oleh enjin 349cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan udara.

Enjin itu mampu menjana 20.2bhp pada 61500rpm dan tork 27Nm pada 4,000rpm untuk tunggangan lancar di bandar mahupun di lebuh raya. Transmisi lima kelajuan pula menjanjikan penukaran gear yang mudah. Shaft pengimbang juga dipasang untuk mengurangkan getaran.

Classic 350 hadir dalam tiga varian dengan tujuh warna menarik menerusi siri Halcyon, Dark dan Classic Chrome. Harganya bermula RM23,500 seunit.

Royal Enfield Meteor 350

Jentera cruiser ini direka dan dibangunkan oleh pasukan reka bentuk serta jurutera di pusat teknikal Royal Enfield di Chennai, Tamil Nadu dan Bruntingthorpe, UK.

Anda pasti dapat melihat kehalusan buatan model ini yang telah dipertingkatkan untuk memberikan kualiti terbaik. Pada masa sama mengekalkan DNA sebuah motosikal Royal Enfield.

Meteor 350 dijana oleh enjin enjin 349cc silinder tunggal dengan sistem penyejukan udara berkuasa 20.2bhp pada 61500rpm dan tork 27Nm pada 4,000rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan.

Penggunaan shaft pengimbang berjaya mengurangkan getaran, sekali gus memberikan tunggangan yang lebih selesa. Maklum balas pendikit juga telah dioptimumkan untuk pecutan yang linear.

Aspek keselamatan dipertingkatkan dengan sistem brek ABS dua saluran yang terdiri daripada brek cakera bersaiz 300mm di depan dan 270mm di belakang.   

Motosikal itu boleh anda miliki pada harga bermula RM24,300.

Untuk makluman, Royal Enfield kini diwakili oleh pihak Didi Automotive dengan kedai utamanya terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya. Jadi, tempahan apa jua model Royal Enfield boleh dibuat di sana.

GALERI

Google ads
Back to top button