Artikel Pilihan

NISSAN XTRAIL 2021, 2 PILIHAN ENJIN. KITA DAPAT YANG MANA?

Nissan X-Trail atau juga dikenali dengan nama Nissan Rogue di sesetengah negara bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Model terbari 2021 ini akan menggantikan model tahun 2013 yang sudah agak ketinggalan berbanding dengan pesaingnya yang lain. Walaupun Nissan bekerja keras dengan memperkenalkan model facelift selang beberapa tahun, pesaing mereka tampil dengan model baru yang lebih menarik dengan pakej keselamatan yang terkini.

Kami sempat memandu uji model terbaru Nissan X-Trail yang diperkenalkan oleh Nissan pada tahun 2019 dalam versi hibrid. Gabungan enjin 2000cc petrol dan sistem hibrid mampu memberikan bacaan petrol sekitar 16km per liter beserta dengan teknologi Nissan Intelligent Mobility. Bagi model terbaru 2021, antara perubahan besar yang diperkenalkan oleh Nissan ialah dengan rekaan V-Motion terbaru yang turut digunakan oleh Nissan Almera N18.

Lampu LED DRL diposisikan di bahagian atas manakala lampu utama dengan teknologi LED diletakkan dibahagian bampar depan. Rekaan sebelum ini yang kelihatan agak lembut diberi sentuhan baru yang nampak lebih bersegi dan maskulin. Bahagian depan dan belakang ditambah dengan skid plate rekaan terbaru an bahagian sisi pula menerima rekaan krom terbaru daripada Nissan.

Untuk unit trenkuasa, terdapat beberapa versi enjin yang diperkenalkan di seluruh dunia. Bagi pasaran China, Nissan Xtrail datang dengan enjin terbaru nisbah mampatan boleh ubah yang diperkenalkan pada tahun 2016 dahulu oleh Infiniti. Enjin 2000cc 4 silinder Variable Compression turbo (VC-T) ini berupaya menghasilkan 270 kuasa kuda dan 390Nm tork.

Apa yang menarik berkenaan dengan enjin VC-T ini ialah ia berupaya mengubah nisbah mampatan mengikut situasi pemanduan. Nisbah mampatan minima 8:1 akan digunakan ketika enjin ini mengektrak kuasa tambahan dimana nisbah mampatan direndahkan dan boost turbo dimaksimakan. Nisbah mampatan yang rendah akan mengelakkan enjin mengalami masalah knocking.

Ketika pemanduan santai, nisbah mampatan akan dinaikkan sehingga 14:1 bagi enjin beroperasi dalam keadaan efisyen dan menjimatkan. Perubahan nisbah mampatan ini berlaku secara enjin beroperasi dan dilakukan secara automatik oleh ECU. Bagi pasaran Amerika pula, mereka menerima enjin 1500cc 3 silinder turbo yang menggantikan enjin 2500cc 4 silinder NA.

Enjin QR25DE ini menghasilkan 181 kuasa kuda dan 245Nm tork ini digantikan dengan enjin 3 silinder turbo tapi dengan penjimatan bahan api yang lebih baik. Dengan padanan transmisi CVT 8 kelajuan, enjin baru ini menjanjikan penggunaan petrol dengan purata 13.51km bagi setiap liter petrol atau 7.4liter petrol bagi setiap 100km. Bagi perjalanan jarak jauh pula, penggunaan petrol semakin berkurang sehingga mencapai purata 15.62km bagi setiap liter.

Buat masa ini enjin 1500cc 3 silinder turbo ini dikatakan menjadi enjin projek penilaian oleh Nissan Amerika sebelum memperluaskan penggunaan enjin ini ke model yang lain. Bagi pasaran Malaysia, setakat ini hanya Nissan Almera yang menggunakan enjin 3 silinder turbo 1000cc yang menghasilkan 99 kuasa kuda dan 152nm tork.

Google ads
Back to top button