
YAMAHA Y16ZR VVA 2021 RASMI DILANCARKAN. 17.7HP, KEYLESS, BERMULA RM10,888!
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebentar tadi melancarkan model paling ditunggu-tunggu ramai, Yamaha Y16ZR ke pasaran tempatan.
Yamaha Y16ZR didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu kelabu, biru dan kuning. Bakal berada di semua pengedar Yamaha pada 31 Mac 2021, jentera tersebut boleh anda miliki pada harga bermula RM10,888 (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran).
Disifatkan sebagai jentera 155cc paling berkuasa di pasaran sekarang, ia hadir dengan pelbagai ciri menarik.

Harus tahu bahawa ia dikuasakan oleh enjin 4 lejang, 4 injap dengan sistem penyejukan cecar SOHC bersesaran 155 yang baharu. Pastinya ia hadir bersama sistem Variable Valve Actuation (VVA) yang membolehkannya menjana sehingga 17.7hp pada 9,500rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000rpm.
Enjin itu kemudian dipadankan dengan transmisi enam kelajuan baharu yang menawarkan pemetaan ignition pada setiap gear.
Sama seperti kebanyakan model baharu Yamaha, Y16ZR turut dilengkapi ciri assist dan slipper clutch yang memudahkan penukaran gear dibuat. Bagi memberikan tunggangan yang selesa, tuil klac direka 10mm lebih pendek berbanding Y15ZR.

Y16ZR dibina di atas kerangka baharu yang ringan dan tegar berbentuk Y. Manakala cagak enjin yang 4.5mm lebih tebal membuatkan tunggangan menjadi semakin mantap, terutama ketika mengambil selekoh.
Tugas membrek diserahkan kepasa sistem brek dengan angkup dua pot dihadapan yang dipadankan bersama cakera bersaiz 245mm.
Enjin yang efisien itu didatangkan bersama tangki berkapasiti 5.4 liter. Ini membolehkan anda mencapai jarak sejauh 256km tanpa sebarang masalah. Tetapi, bergantung gaya tunggangan.
Keselesaan tunggangan ditingkatkan dengan pelana yang direka ergonomik bagi mengikut kontur posisi tunggangan seseorang.

Dari segi penampilan, Y16ZR nyata menyerlah dengan rekaan lampu utama LED yang nipis dan sporty. Lampu tinggi diintegrasikan dengan bahagian bawah badan bersama lampu isyarat membelok.
Lampu belakang yang lebih panjang dan nipis pula menampilkan gayaan LED R-DNA yang cukup sepadan dengan kontur badannya.
Penunggang dihidangkan dengan panel digital LCD yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, takometer, kedudukan gear, indicator VVA dan sebagainya.

Enjin Y16ZR boleh dihidupkan dengan hanya memusing tombol. Tidak perlu lagi memasukkan kunci. Sistem kunci pintar itu juga membolehkan penunggang mengetahui kedudukan terakhir motosikal. Bagi menghalang kecurian, kunci berkenaan didatangkan dengan ciri pelumpuh.
Sebagai sebuah kapcai gaya hidup moden, Y16ZR dilengkapi soket 12V DC dengan kapasiti maksimum 1.0A.
Bagi 5,000 pembeli terawal, mereka akan dihadiahkan dengan bekas kuci yang direka khas oleh Royal Selangor. Mereka boleh mengukir nama dan nombor plat motosikal apabila berkunjung ke mana-mana outlet Royal Selangor.
- BACA: HONDA WINNER X 160cc!!!, PENCABAR YAMAHA Y15ZR 155 VVA?
- BACA:NISSAN SKYLINE GT-R R35 + DUCATI PANIGALE V4 S 2020, UNTUK DIJUAL. FREEGIFT Y15, HARGA RM500K NEGO
- BACA: SELEPAS GP EDITION 2020, YAMAHA Y15ZR TERIMA 4 WARNA DAN GRAFIK BAHARU PULA. HARGA SAMA, RM8,168 SEUNIT
- BACA: YAMAHA Y15ZR V3! 155VVA, KEYLESS!
GALERI