
BYD RANCANG BINA EKOSISTEM EV DI INDONESIA, PERKENALKAN TEKNOLOGI BAHARU
Syarikat teknologi dan pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka di China, BYD bukan sahaja bermain dalam segmen mobiliti tetapi merancang untuk membina ekosistem EV serta teknologi di Indonesia.
Pengurus besar Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik BYD, Liu Xueliang, dalam temu bual khas bersama media Indonesia menyatakan BYD bukan sekadar pengeluar kereta, tetapi syarikat teknologi dengan ekosistem yang komprehensif.
“BYD bukan syarikat automotif biasa, tetapi syarikat teknologi. Menggunakan ekosistem yang mampan untuk pasaran baharu dan sudah tentu NEV (kenderaan tenaga baharu) adalah penyelesaiannya,” kata Liu Xueliang.
Liu menjelaskan bahawa automotif adalah pintu masuk awal untuk BYD memperkenalkan teknologi mereka secara keseluruhan kepada rakyat Indonesia.

Selain daripada kereta penumpang, BYD ialah pengeluar peranti elektronik, bateri, transit kereta api, kenderaan komersial dan forklift.
“Untuk pasaran Indonesia, kami akan secara konsisten membawa teknologi dan produk yang kompetitif ke pasaran, daripada industri automotif sebagai permulaan,” katanya.
BYD juga mahu bekerjasama dengan syarikat pihak ketiga untuk bersama-sama membina ekosistem EV saling menguntungkan.
“Di Indonesia, terdapat pihak ketiga atau syarikat yang banyak mengambil tindakan untuk sama-sama membangunkan infrastruktur EV,” katanya.
“Daripada BYD, kami juga membuka peluang untuk komunikasi dan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan berhubung pembangunan infrastruktur pengecasan EV. Kami berharap pada masa hadapan akan lebih banyak infrastruktur pengecasan tersedia di Indonesia,” Tambah Liu.
Bagi kereta penumpang bakal diperkenalkan ke pasaran Indonesia tahun depan, BYD masih belum mendedahkan jenis dan modelnya secara terperinci.
Walau bagaimanapun, mereka mungkin akan bermula dengan kereta untuk pengguna dalam kelas menengah atas.
“Indonesia adalah pasaran strategik untuk pasaran automotif global. Untuk pemasaran, sama seperti negara lain, kedudukan penjenamaan produk pertama kami adalah sederhana hingga tinggi,” jelasnya lagi.
Namun, kemungkinan juga BYD akan membawa produk jenis lain ke pasaran Indonesia.
“Namun, dengan melihat permintaan di Indonesia, kami yakin kami boleh membawa masuk lebih banyak produk dan teknologi.”
Pada masa ini BYD mempunyai banyak produk untuk pelbagai segmen pengguna, bermula daripada BYD Seal, BYD Dolphin, BYD Han, BYD Atto 3, BYD Yangwang U8, BYD Seagull, hingga BYD Denza N7 dan Denza D9.
- BACA: TOYOTA SPORT CROSSOVER CONCEPT, EV DENGAN KERJASAMA BYD!
- BACA: BYD DOLPHIN, KERETA ELEKTRIK MAMPU MILIK MARHAEN
- BACA: BYD DAN SIME DARBY MOTORS PERKENALKAN ‘EXPLORE SHENZEN WITH BYD’ – BERPELUANG MEMENANGI LAWATAN KE IBU PEJABAT BYD
- BACA: BYD DEDAH SUV EV BAHARU, BYD SEA LION 07 – GUNA E-PLATFORM 3.0 BYD, HARGA BERMULA RM121K







