Buletin

AUTO SHANGHAI 2023: ORA LIGHTNING CAT. BAKAL MASUK MALAYSIA, 705KM SEKALI CAJ, HARGA BAWAH RM200K

Di Auto Shanghai 2023, kereta elektrik gaya retro-futuristik, Ora Lightning Cat turut dipamerkan setelah dilancarkan secara rasmi di pasaran China Oktober tahun lalu.

Ora Lightning Cat dikhabarkan bakal memasuki pasaran negara kita tidak lama lagi pada anggaran harga bawah RM200,000.

Ukuran saiz Lightning Cat adalah 4,871mm panjang, 1,862mm lebar dan 1,500mm tinggi dengan jarak roda 2870mm. Ia dikemaskan lagi dengan rekaan bahagian belakang seperti liftback serta mempunyai kadar pekali seretan hanya 0.22Cd.

Untuk pasaran China, ORA Lightning Cat didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu merah jambu, Smoked Amethyst, ungu, merah jambu dan kelabu.

Di dalam kabin, ia tampil gaya retro moden dengan stereng bulat bersaiz besar, panel instrumen digital 10.25-inci ‘triple gauge’ dan skrin sentuh terapung untuk infotainmen yang disokong oleh cip Qualcomm Snapdragon 8155. Konsol tengah kelihatan sporty bersama pad kawalan serta tiga dail.

Perincian lain termasuklah 3 kamera dipasang pada tiang A yang ditujukan kepada pemandu, manakala dua lagi kamera di siling. Untuk sistem bunyi pula, ia disokong oleh 11 pembesar suara daripada Harman Infinity.

Bahagian dalaman boleh didapati dalam kombinasi warna coklat, hitam atau biru/kelabu.

Beralih kepada ciri keselamatan, model itu dilengkapi sistem bantuan pemanduan ORA-PILOT 3.0 yang disokong oleh 28 sensor termasuk 10 kamera, radar gelombang 5 milimeter, 12 radar ultrasonik dan peta definisi tinggi 5G.

Dari segi kuasa, ORA Lightning Cat hadir dengan pilihan pacuan roda hadapan (FWD) motor tunggal dan pacuan semua roda (AWD) dwi motor.

Versi FWD motor tunggal menghasilkan 204hp dan tork 340Nm, manakala versi AWD dwi-motor menghamburkan kuasa 408hp dan 680Nm.

ORA Lightning Cat menggunakan sama ada bateri Litium besi fosfat atau bateri litium terner. Kapasiti bateri dilaporkan 84kW yang menawarkan jarak gerak sehingga 705km (CLTC) untuk varian ‘Long Battery Life’.

Sementara varian lain mempunyai jarak gerak 555km (Deluxe dan Premium) atau 600km (AWD High Performance). Bagi pengecasan, ia mampu mencapai 80 peratus daripada 30 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Di China, ORA Lightning Cat boleh dimiliki pada harga sekitar AS$26,000 (RM123,253) hingga AS$37,000 (RM175,398) selepas subsidi kerajaan. – Autobuzz

GALERI:

Google ads
Back to top button