Buletin

KERETA 5 BINTANG ASEAN NCAP DI MALAYSIA

Asean NCAP merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menilai ciri keselamatan pada kenderaan penumpang dan kenderaan komersial kecil yang dipasang dan dijual di pasaran Asean. Namun sayang ujian keselamatan yang dibuat adalah atas dasar sukarela bukannya wajib.

Namun atas garis panduan yang baru, ujian kemalangan Asean NCAP akan diwajibkan bermula 1 Mac 2020 bagi semua kenderaan yang ingin dipasarkan di negara ini.

Jadi kami senaraikan di kenderaan yang telah diuji secara sukarela di bawah penyeliaan Asean NCAP dan berjaya mendapat skor 5 bintang. Terdapat 3 kriteria utama yang dinilai iaitu perlindungan penumpang dewasa, perlindungan kanak-kanak dan juga teknologi untuk mengelakkan kemalangan. Markah kumulatif dari 3 aspek ini akan menentukan skor yang diperoleh

1. Toyota Camry 2018 – dengan cesi Toyota New Global Architecture, ia satu manifestasi keupayaan Toyota untuk menghasilkan cesi yang kukuh dan pada masa yang sama melekat di selekoh. Camry berjaya mendapat markah 49.04 perlindungan penumpang dewasa, 22.68 bagi perlindungan kanak -kanak dan 19.75 bagi teknologi mengelakkan kemalangan.

Camry 2018 telah dilengkapi dengan Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collission System (sistem amaran dan brek automatik), Lane Departure Alert, Steering Assist, sistem pemanduan adaptif, dan kawalan lampu tinggi automatik. Anda boleh menonton klip ujian di SINI

2. Proton X70- Crossover pertama Proton mendapat skor cemerlang dengan markah pematuhan 48.99 bagi penumpang dewasa, 20.8 bagi penumpang kanak-kanak dan 19.44 bagi teknologi mengelakkan kemalangan. Namun hanya varian Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD yang dilengkapi dengan teknologi Safety Assist seperti sistem amaran titik buta dan Lane Departure Warning

Anda boleh menonton klip ujian Proton X70 di SINI

3. Honda Accord – dilengkapi dengan enjin 1500cc turbo yang menghasilkan 198 kuasa kuda dan transmisi CVT sahaja, Accord tetap cemerlang dalam ujian perlanggaran Asean NCAP. Markah kumulatif yang berjaya dikutip ialah 91.79 dari semua aspek.

Accord generasi baru dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing yang meliputi aspek Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Mitigation Brake System dan Sistem Amaran Titik Buta. Video penuh berkenaan Honda Sensing boleh ditonton di SINI

4. Toyota Altis – biasanya penulis akan bash Altis disebabkan menggunakan torsion beam pada segmen C, namun Altis baru dengan cesi Toyota New Global Architecture tampil dengan sistem gantungan double wishbone sama dengan Camry.

Dalam ujian Asean NCAP, Altis mendapat skor 46.82 bagi perlindungan penumpang dewasa, 22.35 bagi perlindungan kanak-kanak dan dan 19.29 bagi teknologi mengelakkan kemalangan. Sama seperti Camry, Altis yang dipasang di Malaysia turut dilengkapkan dengan Toyota Safety Sense

Ok, nanti ada pula komen yang sebut, itu kereta mahal boleh la pasang macam-macam. Jadi kami sertakan sekali model mampu milik dengan harag kurang daripada RM 100,000 yang merangkumi model sedan, kompak dan juga crossover.

5. Honda City – model serba baru ini mungkin akan dilancarkan pada tahun ini jika keadaan mengizinkan. Berbeza dengan generasi sebelumnya, Honda menampilkan enjin 1000cc 3 silinder yang baru serta beberapa teknologi tambahan bagi menjadikan City lebih selamat.

Walaupun mendapat markah yang tinggi bagi perlindungan penumpang dewasa iaitu 44.83 dan perlindungan kanak-kanak iaitu 22.82, City kurang cemerlang dalam teknologi bagi sistem amaran titik buta yang memberikan input video namun terhad pada bahagian kiri sahaja. Anda boleh tonton klip video City di SINI

6. Toyota Vios & Toyota Yaris – generasi terbaru Vios boleh dijual di Malaysia dilengkapi dengan Sistem Amaran Titik Buta serta Amaran Lintasan Trafik pada bahagian belakang. Mungkin ini usaha tambahan yang dilakukan oleh UMW bagi pasaran. Berdasarkan pandu uji penulis, sistem ini bertindak dengan cemerlang serta lengkap dengan kamera bantun 360 darjah

Bagi ujian Asean NCAP tanpa sistem amaran titik buta, Vios mendapat skor keseluruhan 81.88 bagi melayakkannya mendapat skor 5 bintang. Anda boleh tonton ujian kemalangan Vios di SINI

7. Perodua Aruz / Toyota Rush– kedua-dua model ini dihasilkan di fasiliti Perodua di barisan pemasangan yang sama. Namun dari segi kemasan dan kelengkapan keselamatan, kedua dua model menggunakan pendekatan yang berbeza. Namun kedua dua model mendapat skor 5 bintang.

Perodua Aruz menggunakan teknologi Advanced Safety Assist 2.0 yang merangkumi sistem amaran pra perlanggaran dan brek pra perlanggaran. Rush pula menggunakan sistem Pre-Collision System dan digabungkan dengan teknologi Sistem Amaran Titik Buta serta Amaran Trafik Lintasan Belakang. Klip video ujian kemalangan boleh ditonton di SINI

8. Perodua Myvi AV – varian AV dengan enjin 1500cc merupakan varian tunggal yang ditawarkan oleh Perodua dengan teknologi ASA 1.0. Dengan sistem ini Myvi mendapat skor 88.27 iaitu lebih tinggi daripada Vios dan juga Honda City generasi paling baru. ASA 1.0 beroperasi sehingga kelajuan 30km/j berbanding dengan ASA 2.0 yang mampu beroperasi sehingga kelajuan 80km/j.

Klip video ujian Myvi boleh ditonton di SINI

Pada bulan Februari, Asean NCAP turut menyiarkan maklumat ujian kemalangan trak dengan skor 5 bintang iaitu Isuzu Dmax

9. Isuzu Dmax- versi baru Dmax ditawarkan dengan enjin 1900cc turbodisel. Dmax mendapat skor 42.72 bagi perlindungan penumpang dewasa, 21.83 perlindungan kanak kanak dan 18.61 bagi teknologi mengelakkan kemalangan. Dengan markah kumulatif 83.16 Dmax berjaya mendapat skor 5 bintang

Klip ujian Dmax boleh ditonton di SINI

10. Honda CRV – masih menggunakan enjin 1500cc sama seperti Civic dan Accord namun ditala supaya menghasilkan 190 kuasa kuda. Ia merupakan model pertama Honda yang menawarkan teknologi Honda Sensing bagi pasaran Malaysia. Dengan markah 88.8 CRV berjaya mendapat skor 5 bintang untuk ujian Asean NCAP.

Ujian yang dinyatakan di atas merupakan ujian yang dibuat bermula dari tahun 2017 dan keatas dengan sistem pemarkahan baru. Markah penuh bagi perlindungan penumpang dewasa ialah 50%, perlindungan kanak-kanak 25% dan teknologi yang digunakan untuk mencegah kemalangan 25%.

Bagi model lama seperti Persona/Iriz, ia masih menggunakan skim permarkahan yang lama namun masih lagi mendapat skor 5 bintang

Google ads
Back to top button