
KAWASAKI ENDEAVOR. JENTERA ELEKTRIK DENGAN TRANSMISI MANUAL 4 KELAJUAN!
Kawasaki baru-baru ini mengesahkan penyertaan ke dalam segmen motosikal elektrik yang kian berkembang.
Kemasukan itu dibuat menerusi jentera Endeavor yang hadir dengan kotak gear manual. Dibina untuk ditunggang di litar, aspek pengendalian pastinya menjadi fokus utama.
Pengeluar motosikal dari Jepun itu dikatakan dalam proses menilai model yang dikuasakan oleh pek bateri tersebut di laman YouTube miliknya. Entri terbaharu ialah 10 episod yang menunjukkan Endeavor memecut di atas litar dengan penunggang menukar kedudukan gear mengguna tuil di kaki.
“Transmisi manual bukan sahaja menawarkan julat pecutan yang lebih baik. Ia juga membolehkan penunggang mempunyai input ketika mengendalikannya,” jelas Kawasaki.
Kawasaki mengumumkan pelan untuk menghasilkan jentera elektrik pada tahun 2019. Tetapi, spesifikasi tekninkal penuh Endeavor masih belum didedahkan. Jentera itu dikatakan mampu menawarkan kuasa sehingga 26hp dan sejumlah tork dengan pantas.
Kuasa tersebut diperoleh daripada satu pek bateri lithium-ion yang diletak pada ruang enjin. Ia akan menggerakkan roda belakang menerusi kotak gear manual empat kelajuan. Ciri itu nyata membuatkan Endeavor berbeza jika dibandingkan dengan motosikal elektrik yang lain.
Beratnya bagaimana pun tidak dinyatan. Tetapi Kawasaki menyatakan jentera itu selari dengan falsafah rekaan motosikalnya yang ringan, seronok ditunggang dan responsif.
Penekanan terhadap penggunaan di litar membuatkannya lebih menarik. Ini kerana kebanyakan pengeluar kereta masih bergelut untuk menghasil kenderaan elektrik yang sesuai digunakan di litar.
Sudah pasti, pek bateri pada Endeavor jauh lebih kecil daripada bateri kereta. Jadi, ia mungkin dilengkapi ciri pengecasan pantas.
Dari segi penampilan pula, ia kelihatan tidak jauh berbeza dengan mana-mana sportbike konvensional. Endeavor menggabungkan reka bentuk jentera Z400 dan Z650 dengan fairing diinspirasikan daripada model Ninja.
Masih terlalu awal untuk meneka bilakah Endeavor akan melakukan debut, mungkin hujung tahun ini. Mungkin…
- BACA: NEWRON EV-1. MOTOSIKAL PALING MESRA ALAM. MOTOR ELEKTRIK, BADAN KAYU
- BACA: SEAT NAK JUAL MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA, ESCOOTER BERKAPASITI 125CC DI EROPAH
- BACA: MOTOSIKAL JURURAWAT KENA CURI, KAWASAKI GANTI DENGAN NINJA 400, EKZOS AKRAPOVIC
- BACA: KAWASAKI BAKAL LANCAR JENTERA ADVENTURE KLX 700 TAHUN DEPAN?