Buletin

TOYOTA VENZA (HARRIER REBADGE) DIPERKENAL DI AS!

Serentak dengan MPV Sienna, Toyota memperkenalkan SUV Venza di Amerika Syarikat. Berbanding Sienna yang dibangunkan khusus untuk Amerika Syarikat, Vienna adalah Harrier yang dijenamakan semula bagi pasaran di sana.

Satu sejarah penting apabila Venza generasi pertama bukan sebuah Harrier tetapi model yang direka sendiri oleh Toyota di Amerika Syarikat dan dikeluarkan dari 2008 hingga 2017.

Di AS, generasi pertama Harrier hadir sebagai Lexus RX yang kini sudah dipisahkan dengan konsep tersendiri. Ini bermakna, Venza kembali kepada konsep asal Harrier yang diberi nama berasingan tetapi berkongsi model sama.

Walaupun berkongsi, tiada isu kerana Harrier sendiri sebuah model yang bagus dengan rekabentuk elegan.

Satu lagi fakta menarik apabila Venza menggunakan platform TNGA-K yang sama seperti RAV-4.

Kedua-dua model itu berbeza dari segi konsep di mana RAV-4 lebih kepada gayaan utilitarian manakala Harrier pula kelihatan sleek dan premium.  

Venza menjurus kepada gayaan C-HR manakala RAV-4 pula selari dengan Toyota Raize.

Dari segi nadi kuasa, Venza dibekalkan Toyota Hybrid System II dengan enjin 2.5 liter Dynamic Force VVT-iE. Gabungan sistem tiga motor elektrik dan enjin pembakaran dalaman itu mempunyai output 219 hp.

Harrier model pasaran Jepun pula mempunyai tambahan satu lagi enjin iaitu 2.0 liter Dynamic Force dengan transmisi Direct-Shift CVT 10 kelajuan.

Enjin hibrid Venza dipadan bersama pacuan semua roda Electronic On-Demand All-Wheel Drive yang tidak mempunyai transfer case dan aci pacu. 

Sistem pacuan diprogram untuk menggunakan nisbah 100:0 pada kelajuan biasa dan sehingga 20:80 di atas permukaan licin.

Selari dengan teknologi hari ini, Venza mempunyai empat mod pemanduan iaitu NORMAL, ECO, SPORT dan EV.

Mod NORMAL ideal untuk pemanduan harian manakala EV pula hanya menggunakan kuasa elektrik pada kelajuan rendah untuk jarak pendek.

Satu ciri canggih dan pintar pada Venza ialah Predictive Efficient Drive (PED) yang menggunakan sistem operasi navigasi untuk menganalisa tabiat pemanduan dan mengingati jalan serta keadaaan trafik.

Tujuannya ialah untuk mengoptimumkan pengecasan bateri hibrid.

Senarionya begini, apabila pemandu memilih PED, sistem mempelajari laluan yang berulang dan ia direka untuk menjangka kemungkinan bila dan di mana kenderaan perlahan atau berhenti.

Melalui panduan pelepasan pedal yang optimum, sistem dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga.

PED boleh membantu dalam mengoptimumkan pengecasan dan nyahcas bateri sebelum laluan mendaki atau kesesakan jalan raya.

Apabila menuruni kawasan berbukit, sistem diprogram untuk menambah kuasa brek enjin bagi mengecas bateri dengan efisien selepas pedal minyak dilepaskan.

Dari segi segi keselamatan, Venza dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS 2.0) dengn ciri seperti berikut:

  • Pre-Collision System with Daytime/Low-Light Vehicle and Pedestrian Detection, plus Daytime Bicycle Detection (PCS)
  • Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC)
  • Lane Departure Alert with Steering Assist (LDA w/SA)
  • Automatic High Beams (AHB)
  • Lane Tracing Assist (LTA)
  • Road Sign Assist (RSA)

Turut dilengkapi ialah lapan beg udara, Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Enhanced Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRAC), EBD, BA, ABS dan Smart Stop Technology (SST). 

Berbeza dengan MPV Sienna yang dipasang di Amerika Syarikat, Venza dikeluarkan di kilang Toyota di Takaoka, Jepun dan akan memasuki pasaran AS beberapa bulan lagi.

BACA: PADA 1994 TOYOTA RAV4 DIPERKENAL, SAIZ TAK SAMPAI 4 METER PUN!

BACA: TOYOTA GR YARIS DAH BOLEH TEMPAH – RM156K DI JERMAN!

BACA: PADA 2012 AYLA DAN AGYA DIUMUMKAN, KERJASAMA DAIHATSU DAN TOYOTA

Kredit foto: Toyota

Tags
Google ads
Back to top button